Berita Utama

Jangan kongsi hal sensitif rakan dalam Kerajaan Perpaduan

Nur Jazlan minta Anthony Loke ingat semula kes Guan Eng digugurkan pada 2018

BANGI, 20 Safar 1445H, Rabu – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Nur Jazlan Mohamed menasihatkan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke supaya tidak berkongsi perkara-perkara sensitif membabitkan rakan dalam Kerajaan Perpaduan secara terbuka, sebaliknya cukuplah dibincang sesama sendiri.

Kenyataan Nur Jazlan itu susulan merujuk permintaan Loke supaya Peguam Negara memberikan penjelasan terbuka susulan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur melepas tanpa membebaskan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi daripada 47 pertuduhan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram membabitkan dana Yayasan Akalbudi.

Beliau berkata, keputusan mahkamah seumpama kes Ahmad Zahid juga pernah berlaku pada tahun 2018 membabitkan kes rasuah berhubung pembelian lot tanah dan banglo Pengerusi DAP, Lim Guan Eng.

“Oh ya kes sama; Mahkamah Tinggi pada 3 September 2018 melepas dan membebaskan bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng daripada tuduhan rasuah berhubung pembelian sebuah lot tanah dan banglo serta ahli perniagaan Phang Li Koon daripada dakwaan bersubahat.

“Ia berikutan permohonan Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Masri Mohd Daud melalui representasi dikemukakan pihak pembelaan kepada Pejabat Peguam Negara untuk menggugurkan tuduhan berkenaan.

“Saya pun teruslah buat carian di internet, kalau-kalau ada kenyataan daripada Loke atau mana-mana pemimpin PN masa itu yang minta Peguam Negara beri penjelasan apabila pihak AGC bertindak buat permohonan untuk gugurkan tuduhan terhadap Guan Eng yang juga sudah menjalani perbicaraan kes yang lama,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Justeru, Nur Jazlan meminta Loke supaya tidak risau kononnya isu membabitkan Ahmad Zahid akan menjejaskan sokongan pengundi kepada calon Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan Simpang Jeram, Sabtu ini.

“Dia risau takut jejaskan undi calon PH di PRK Parlimen Pulai pada Sabtu nanti. Tapi daripada pengamatan saya, selepas Guan Eng didakwa dulu sampailah dia digugurkan oleh AGC, saya lihat undi Cina kepada PH terutamanya DAP tak menurun pun, malah bertambah dengan luar biasa pada PRU15 lalu.

“Jadi, Loke tak perlu risaulah kononnya isu terbaru Zahid ini akan menjejaskan undi kepada calon Amanah nanti,” katanya.

Beliau turut menasihatkan Loke supaya tidak gundah gulana kononnya Ahmad Zahid akan menjadi liabiliti kepada Kerajaan Perpaduan pada PRK.

“Pokok pangkalnya orang Cina Pulai tak akan terjejas sokongan mereka kepada PH walaupun calon Amanah yang bertanding di kerusi ini.

“Sebagaimana orang Cina percayakan keadilan sistem kehakiman kita selepas kes Guan Eng digugurkan, saya percaya begitu juga keyakinan mereka masih sama dalam kes Zahid ini,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button