Berita Utama

Periksa kewangan anggota polis pamer gaya hidup mewah

Semua pihak perlu usaha jadikan negara bebas rasuah

BANGI, 24 Rabiulawal 1445H, Selasa – Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) mengesyorkan supaya pemeriksaan kewangan terhadap anggota polis yang mempamerkan gaya hidup mewah dilaksanakan secara teliti dengan segera bagi memerangi rasuah dalam pasukan itu.

Presidennya, Jais Abdul Karim berkata, kerjasama erat antara pasukan polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) amat penting bagi mengatasi masalah rasuah dalam negara dengan lebih berkesan.

Menurutnya, MCW menyokong penuh dan menyanjung tinggi semangat Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman (CID), Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain yang tampil ke hadapan menzahirkan komitmen dengan serius untuk membanteras rasuah dalam pasukan polis menerusi ucapan beliau yang tular baru-baru ini.

“Kenyataan tegas yang dikeluarkan beliau (Mohd Shuhaily) mengenai isu rasuah dalam kalangan anggota polis adalah langkah proaktif yang amat dihargai. Ini merupakan rahsia umum yang telah diketahui majoriti rakyat Malaysia.

“Beliau dengan jelas menyuarakan kebimbangan terhadap tindakan-tindakan yang merosakkan imej dan integriti pasukan polis serta melemahkan keyakinan masyarakat terhadap sistem keadilan,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Sebelum ini, Mohd Shuhaily memberi amaran keras terhadap pegawai bawahannya supaya berhenti bersekongkol dengan sindiket jenayah.

Katanya, sama ada pegawai terbabit berubah atau akan dipindahkan.

Jais berkata, kenyataan tegas dan proaktif tersebut merupakan pemangkin untuk perubahan positif dalam pasukan polis dan berharap ia menjadi titik permulaan dan galakan agar lebih banyak usaha memerangi rasuah dalam semua lapisan masyarakat.

“MCW juga komited untuk bekerjasama dengan beliau, PDRM dan masyarakat bagi meningkatkan kesedaran mengenai bahaya rasuah dan kepentingan pemupukan budaya integriti dalam organisasi yang menjaga keamanan negara seperti pihak polis.

“MCW mengajak semua pihak termasuk rakyat Malaysia dan pihak berkuasa untuk berganding bahu dalam usaha menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang maju dan benar-benar bebas daripada rasuah,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button