Berita Utama

Belanjawan 2024: Had caruman i-Suri, i-Saraan KWSP dinaikkan

100,000 topi keledar percuma diagih kepada keluarga kurang mampu

KUALA LUMPUR, 27 Rabiulawal 1445H, Jumaat – Belanjawan 2024 Malaysia MADANI menyaksikan penambahbaikan penyaluran bantuan tunai apabila had caruman padanan kerajaan di bawah program i-Saraan dan i-Suri Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) masing-masing ditingkatkan pada tahun hadapan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, bantuan itu dapat dipertingkat dan dimanfaat bagi meringankan beban golongan kurang berkemampuan berikutan hasil daripada sebahagian pendapatan yang diraih menerusi penjualan nombor plat khas.

Beliau berkata, had caruman bagi program i-Saraan KWSP ditingkatkan kepada RM500 setahun, terhad kepada RM5,000 seumur hidup manakala had caruman padanan di bawah program i-Suri KWSP ditingkatkan kepada RM300 setahun, terhad kepada RM3,000 seumur hidup.

“Selain itu, Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah juga akan diteruskan dengan peruntukan RM50 juta yang memanfaatkan lebih 40,000 suri rumah yang berdaftar dengan e-Kasih,” katanya ketika membentangkan belanjawan itu yang bertemakan ‘Reformasi Ekonomi, Memperkasa Rakyat’ di Dewan Rakyat hari ini.

Ini adalah belanjawan kedua dibentangkan Kerajaan Perpaduan pimpinan Anwar, yang juga Menteri Kewangan.

Selain itu, Anwar berkata, kerajaan bersetuju untuk terus menanggung bayaran lesen ujian memandu bagi motosikal kelas B2 e-hailing dan teksi untuk manfaat lebih 40,000 belia daripada keluarga kurang mampu.

Beliau berkata, sebanyak 100,000 topi keledar termasuk untuk kanak-kanak dibekalkan bagi agihan secara percuma kepada keluarga kurang mampu.

“Bagi Ikhtiar FLYsiswa, iaitu subsidi pembelian tiket penerbangan bagi mengurangkan beban kewangan untuk pulang ke kampung, akan diteruskan pada tahun hadapan yang memberi manfaat kepada hampir 60,000 pelajar daripada keluarga kurang mampu,” katanya.

Perdana Menteri turut mengumumkan penambahbaikan program perlindungan sosial termasuk kadar tanggungan kerajaan di bawah Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) akan dipertingkat kepada 90 peratus melibatkan peruntukan RM100 juta manakala syarikat pengendali diseru menanggung baki 10 peratus caruman pekerja gig.

Beliau berkata, kerajaan akan meningkatkan siling gaji bulanan bagi caruman PERKESO daripada RM5,000 kepada RM6,000 yang menyaksikan peningkatan faedah tunai pada kadar 20.2 peratus untuk manfaat 1.45 juta pekerja dan tanggungan mereka.

Katanya selain itu, akaun ahli KWSP akan distruktur semula untuk memperkasa simpanan persaraan dan bagi tujuan itu, Akaun Fleksibel KWSP akan diperkenal sebagai akaun baharu yang boleh diakses ahli pada bila-bila masa.

Anwar berkata, kerajaan turut menyediakan peruntukan RM2.4 bilion kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat tahun depan yang memberi manfaat kepada lebih 450,000 rakyat khususnya isi rumah miskin tegar, warga emas, kanak-kanak dan Orang Kurang Upaya dengan syarat kelayakan diperluas selaras dengan kenaikan Pendapatan Garis Kemiskinan Makanan 2023 iaitu RM1,198 sebulan. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button