Berita Utama

Apa pendirian kaum lain dalam isu Palestin?

Seolah ada agenda normalisasi Israel, Islamofobia diterap pihak tertentu

Oleh Athirah Huda Zalhe

BANGI, 24 Rabiulakhir 1445, Rabu – Pemuda BERJASA melihat isu kemanusiaan di Palestin dan kekejaman rejim Zionis ke atas Gaza yang mengorbankan lebih 10,000 nyawa setakat ini, seolah-olah hanya eksklusif untuk orang Islam di negara ini.

Walhal, seluruh masyarakat antarabangsa tanpa mengira agama dan bangsa di seluruh dunia terus agresif bersolidariti dan mendesak supaya kekejaman Israel ke atas Palestin dihentikan.

Atas sebab itu, Ketua Pemuda BERJASA, Fahmi Bazlan tertanya-tanya apakah pendirian sebenar masyarakat bukan Islam di Malaysia dalam isu berkenaan.

“Masyarakat Cina, India dan pelbagai kaum lain di negara kita ini, apa pendirian mereka? Apakah mereka tidak boleh terlibat sama dalam isu mengangkat isu ini sebagai isu kemanusiaan?

“Di mana belas kasihan mereka? Di mana penglibatan dan penyertaan (mereka), saya tak nampak perkara ini,” katanya dalam video yang dimuat naik di Facebook.

Sebaliknya, Fahmi mendakwa, beliau kini melihat seolah-olah ada satu agenda normalisasi Israel atau Islamofobia yang diterapkan pihak tertentu daripada parti politik atau gerakan sivil.

Katanya, gerakan itu mengangkat agenda liberal sehingga menyebabkan sentimen Islamofobia di Malaysia semakin menebal.

“Jadi, bila berlaku krisis kemanusiaan di Palestin, masyarakat berbilang kaum di negara kita ini seolah-olah tidak menyambut baik perkara ini, tidak mengangkat isu kemanusiaan serta dibiarkan umat Islam dari kalangan bangsa Melayu saja menjuarai perjuangan Palestin.

“Persoalannya, apakah masyarakat bukan Islam di negara kita hari ini terlibat dengan normalisasi Israel atau mereka pro-Israel? Anda sendiri menilainya.

“Jadi marilah sama-sama mengubah naratif ini supaya perjuangan pembebasan Palestin dan kekejaman yang dilakukan Zionis Israel di Gaza bukan hanya mendapat perhatian orang Islam, tetapi berbagai kaum di Malaysia,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button