Berita Utama

Arahan suntikan vaksin ISR secara paksa palsu: KKM

Henti sebar maklumat tak sah, boleh kelirukan masyarakat

BANGI, 24 Rabiulakhir 1445H, Rabu – Kementerian Kesihatan (KKM) menegaskan tidak pernah mengeluarkan arahan berhubung pelaksanaan suntikan vaksin ISR secara paksa.

Bahkan, KKM dalam kenyataan hari ini turut menegaskan bahawa vaksin ISR yang ditularkan pihak tertentu di media sosial adalah tidak wujud.

Kementerian itu memandang serius terhadap penyebaran maklumat palsu di aplikasi Whatsapp oleh pihak tidak bertanggungjawab, kononnya suntikan vaksin ISR bakal disuntik secara paksa kepada rakyat.

“Pihak yang tidak bertanggungjawab ini telah menimbulkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat memandangkan KKM tidak pernah mengeluarkan sebarang arahan berkenaan suntikan secara paksaan kepada rakyat dan vaksin ISR ini tidak wujud.

“Justeru, orang ramai adalah diseru dan dinasihatkan untuk berhenti menyebarkan sebarang perkongsian maklumat palsu dan tidak sah yang boleh mendatangkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat,” katanya.

Pada masa sama, KKM turut menasihatkan semua pihak untuk berhati-hati dalam menyebarkan informasi dan sentiasa memastikan kebenaran sebelum berkongsi dengan mana-mana individu.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button