Berita Utama

Kemaman bukan kubu kuat PAS: Zahid

Calon BN mampu raih sokongan rakyat, rampas kembali kerusi

KUALA LUMPUR, 29 Rabiulakhir 1445H, Isnin – Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, parti itu berpeluang merampas kembali kerusi Parlimen Kemaman, Terengganu pada Pilihan Raya Kecil (PRK) 2 Disember ini.

Ini kerana kawasan itu merupakan kubu kuat UMNO dan bukannya parti PAS.

Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, kekalahan parti itu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) disebabkan fitnah terhadap UMNO dan BN selain penggunaan sumber kewangan yang luar biasa oleh pihak lawan.

“Kita merasakan Kemaman bukan kubu kuat PAS, Kemaman ialah kubu kuat UMNO.

“Namun, disebabkan terjahan isu fitnah dan juga simbahan kebencian terhadap UMNO khususnya dan BN, serta penggunaan sumber kewangan yang sangat luar biasa pada ketika itu, maka kita kekurangan undi di Kemaman,” katanya pada majlis pengumuman calon BN bagi PRK Kemaman di Menara Dato’ Onn di sini hari ini.

Bekas Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor diumum sebagai calon langsung BN bagi PRK Kemaman.

Ahmad Zahid berkata, Raja Mohamed Affandi yang dibesarkan di Kemaman, dilihat mampu meraih sokongan rakyat sekali gus merampas kembali kerusi berkenaan berdasarkan kepimpinannya dalam ketenteraan.

“Beliau mempunyai latar belakang yang sangat kuat dalam kerjaya ketenteraan dan beliau telah melalui kerjaya profesional ini dengan begitu gigih,” katanya.

Ditanya mengenai penerimaan jentera UMNO dan BN terhadap pemilihan Raja Mohamed Affandi sebagai calon BN, Ahmad Zahid meluahkan keyakinan terhadap sokongan ahli parti dan pengundi di Kemaman.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian PRK Parlimen Kemaman pada 2 Disember ini manakala tarikh penamaan calon dan hari pengundian awal masing-masing ditetapkan pada 18 dan 28 November.

PRK Parlimen Kemaman perlu diadakan susulan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Terengganu pada 26 September , yang membatalkan kemenangan calon PAS, Che Alias Hamid pada PRU15.

Pada PRU15, calon BN Datuk Seri Ahmad Said tewas kepada Che Alias dengan majoriti 27,179 undi sekali gus menyaksikan PAS mendominasi kesemua 14 kerusi Parlimen di negeri berkenaan.

Kerusi Parlimen Kemaman sebelum ini diwakili BN menerusi Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek selama tiga penggal, sebelum bertukar tangan kepada Che Alias pada PRU14.- Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button