Berita Utama

Kenyataan media penjelasan awam terhadap fitnah dan persepsi buruk kepada Aman Palestin

Perang Taufan Al-Aqsa sudah memasuki hari yang ke-45. Perang yang semakin hari semakin dahsyat, menuntut kepada kita semua untuk membuat tuntutan supaya perang dihentikan dan saluran bantuan dibuka untuk diberikan kepada rakyat Gaza. Malangnya masih ada pihak-pihak yang mengambil kesempatan menaburkan fitnah bagi mengeruhkan keadaan dalam keadaan rakyat Palestin yang sangat memerlukan bantuan terutamanya di Gaza. Kami merujuk kepada fitnah yang dikongsi dan ditularkan oleh beberapa individu di platform media sosial baru-baru ini. Kesemua fitnah yang ditimbulkan adalah untuk menimbulkan keraguan kepada masyarakat awam dan mengganggu operasi Aman Palestin yang didorong oleh perasaan dengki dan sakit hati. Bukan itu sahaja, fitnah-fitnah yang ditaburkan di saat Palestin sangat-sangat memerlukan bantuan dan sokongan semua tanpa berbelah bahagi telah menimbulkan keraguan kepada orang ramai dan persepsi buruk kepada bantuan yang disalurkan kepada rakyat Palestin. Niat jahat dan persepsi buruk ini menyebabkan bantuan kepada Palestin berkurangan dan akibatnya rakyat Palestin semakin sengsara dan terus dizalimi oleh penjajah Israel.

Bahagian 1 : Fitnah bahawa Aman Palestin seolah-olah kononnya organisasi yang diragui status dan matlamat penubuhan.

Fitnah jahat yang disebarkan ini bertujuan untuk mengikis kepercayaan masyarakat kepada usaha yang telah dilakukan oleh Aman Palestin untuk memberikan kefahaman tentang isu Palestin dan sumbangan yang telah disalurkan. Untuk pengetahuan umum, Aman Palestin mula beroperasi pada akhir 2004 sebagai inisiatif untuk membantu dan menyalurkan sumbangan serta memperjuangkan dan menjaga kebajikan dan hak kemanusiaan rakyat Palestin. Pada 3 Januari 2006, pendaftaran Aman Palestin telah diluluskan secara rasmi di bawah Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dengan nama AMAN PALESTIN BERHAD (719871-K) sebagai sebuah syarikat yang tidak berasaskan keuntungan (non-profit organization) bagi membantu rakyat Palestin secara kolektif, terancang, berterusan dan berkesan.

Objektif utama penubuhan Aman Palestin adalah pembebasan bumi Palestin dari cengkaman penjajah. Oleh itu, berbekalkan kepercayaan pada potensi kesatuan umat manusia serta komitmen yang tinggi dalam memperjuangkan keamanan Palestin, kami benar-benar komited dalam gerakan untuk menyampaikan ilmu dan memberi kesedaran agar masyarakat turut sama berganding bahu dengan memberikan sokongan dan sumbangan harta, tenaga, kepakaran di dalam pelbagai bidang mengikut kapasiti masing-masing bagi pembebasan penuh Palestin, bukan hanya berempati kemanusiaan.

Untuk itu, penganjuran program ceramah, pameran bergerak, larian amal dan program himpunan solidariti di pelbagai peringkat anjuran Aman Palestin secara konsisten sepanjang tahun; tidak hanya bermusim, jelas sekali memperlihatkan usaha kami dalam mendukung misi dan visi kami itu. Masyarakat seharusnya sedar bahawa usaha ini bukanlah satu usaha yang mudah. Ianya memerlukan pengemblengan tenaga, masa dan harta bersama-sama dalam menuntut semula kedaulatan tanah kiblat pertama umat Islam ini.

Aman Palestin melihat usaha-usaha menyebarkan kesedaran dalam kalangan masyarakat seperti ini amatlah kurang. Oleh demikian, kami mengambil langkah proaktif ini dengan turun padang ke setiap pelusuk negeri di Malaysia sejak awal penubuhan kami sehingga ke hari ini yang sudah menjejaki usia 17 tahun penubuhan. Jika ingin disenaraikan sudah pasti beribu-ribu institusi telah kami santuni dengan pelbagai program pengisian yang memberi manfaat sejagat. Selain itu, penganjuran program-program mega seperti himpunan, konvensyen, roadshow, karnival dan simposium yang menghimpunkan ratusan ribu orang sejak 2009 hingga kini, menjadi bukti keseriusan kami membawa isu Palestin ke pentas antarabangsa.

Bahagian 2 : Fitnah bahawa Aman Palestin seolah-olah kononnya tidak menyalurkan wang-wang sumbangan awam kepada Palestin.

Fitnah jahat ini juga menimbulkan persepsi buruk supaya sumbangan tidak diberikan kepada pihak yang paling berhak di Palestin. Aman Palestin sekali lagi menzahirkan rasa kesal terhadap fitnah berkaitan isu penyaluran dana awam yang semakin membarah ditambah pula dengan kehadiran pelbagai platform media sosial yang sukar dikawal kandungannya. Isu yang hampir sama telahpun dikaitkan sejak beberapa tahun lalu terhadap Aman Palestin. Walaupun kenyataan media telah dibuat pada tahun yang sama bagi menangkis setiap tohmahan berkenaan, isu-isu tular tersebut dilihat masih berlegar saban tahun bahkan dinaikkan kembali setiap kali berlakunya isu peperangan di Palestin.

Pihak kami sekali lagi menjelaskan bahawa Aman Palestin menyalurkan bantuan secara terus kepada penduduk Palestin tanpa melalui kedutaan Palestin di Malaysia. Aman Palestin memastikan semua projek bantuan yang disalurkan mengikut SOP dan prosedur tertentu yang telah ditetapkan. Sehingga kini tidak timbul sebarang masalah atau kesulitan jika agihan bantuan dilakukan tanpa melalui pihak kedutaan. Pihak kami juga ingin menekankan bahawa kami mempunyai pejabat sendiri di Palestin untuk membolehkan bantuan dihantar terus dengan lebih pantas ke Gaza, Tebing Barat dan kawasan-kawasan lain yang memerlukan.

Ingin sekali kami tekankan di sini bahawa adalah sangat mustahil jika wang-wang sumbangan melalui Aman Palestin tidak sampai ke Palestin seperti dakwaan segelintir pihak. Hal ini kerana setakat ini Aman Palestin telahpun berjaya menyiapkan lebih dari 13 projek infrastruktur bertaraf mega di Palestin dengan perbelanjaan keseluruhan bernilai puluhan juta ringgit.

Selain itu, Aman Palestin juga mengagihkan bantuan dalam bentuk program tahunan menerusi kempen Bantuan Ramadan Bersamamu, Bantuan Ibadah Korban di Bumi Anbia, Bantuan Musim Sejuk, Bantuan Bread for Love dan Tajaan Bulanan Kafalah (anak yatim, keluarga miskin, ibu tunggal dan dana pendidikan). Melalui kempen-kempen ini, secara purata puluhan juta ringgit lagi telah disalurkan setiap tahun tanpa gagal meliputi lokasi penerima manfaat bukan sahaja di dalam Palestin bahkan pelarian-pelarian Palestin yang berada di Syria, Lubnan dan Yaman.

Untuk peperangan Taufan Al-Aqsa kali ini, Aman Palestin Berhad telah berjaya menyalurkan sebanyak RM3 juta merangkumi bantuan berbentuk kewangan, makanan panas, perubatan dan pembelian dua buah ambulans.

Umum juga perlu tahu, sejak awal penubuhan Aman Palestin Berhad, kami telah mengetuai lebih 56 misi-misi kemanusiaan untuk turun padang sendiri menyalurkan bantuan kemanusiaan di samping melawat tapak pembinaan projek atau program Aman Palestin yang masih berjalan di Palestin, Syria, Lubnan, Yaman, Turkiye, Bangladesh dan Indonesia. Kami juga pernah mengetuai sebuah misi sukarelawan ke Gaza seramai 121 orang pada tahun 2012. Pada ketika itu sekatan sempadan tidaklah seketat hari ini. Kesemua sukarelawan yang terlibat dapat menjadi saksi penyaluran bantuan Aman Palestin seterusnya melihat sendiri kesengsaraan penduduk Palestin dengan harapan mereka dapat menyampaikan pengalaman mereka itu kepada rakyat Malaysia setelah pulang ke tanah air.

Bercakap mengenai tanah air sendiri, rakyat Malaysia juga tidak terlepas daripada menjadi antara penerima manfaat hasil kutipan sumbangan selama ini. Pada tahun 2020-2021, Aman Palestin turut menyalurkan hampir RM1 juta kepada rakyat Malaysia yang terkesan akibat pandemik COVID-19 termasuklah pembelian barangan perubatan dan sanitasi kepada beberapa institusi Jabatan Kesihatan Negeri (JKN). Bantuan-bantuan Covid-19 ini seterusnya dikembangkan lagi ke negara serantau Indonesia dengan objektif yang sama.

Bahagian 3 : Fitnah bahawa Aman Palestin menggunakan 30 peratus daripada hasil sumbangan awam seolah-olah kononnya untuk tujuan peribadi atau di luar objektif penubuhan.

Fitnah ini amatlah melampau dan amat berniat jahat serta membina persepsi buruk bagi menjatuhkan imej baik Aman Palestin sehingga mengakibatkan privasi kakitangan terjejas dan seterusnya mengurangkan sumbangan bantuan kepada Palestin. Jika diteliti dokumen penyata kewangan yang ditularkan oleh beberapa individu, sebenarnya perbelanjaan kos pengurusan hanyalah 8 peratus, bukanlah 30 peratus seperti yang didakwa. Wujud juga istilah-istilah buruk yang cuba diketengahkan bertujuan merujuk kepada Aman Palestin seperti “sakau, penunggang agama, scammer dan lain-lain lagi sehingga istilah-istilah tersebut menjadi trending di laman sosial. Kos pengurusan 8 peratus tersebut adalah suatu jumlah yang berpada, tidak ada kesalahan dari sudut undang-undang mahupun agama dan tidak melampaui batas untuk menguruskan hampir 200 orang kakitangan dan sukarelawan Aman Palestin yang bertebaran di seluruh Malaysia.

Pihak kami juga ingin menekankan bahawa kami memiliki 20 buah cawangan di seluruh Malaysia untuk menggerakkan program-program ceramah dan pameran bagi memenuhi matlamat penubuhan organisasi. Adalah tidak logik jika organisasi ini hanya bergantung harap kepada pengurusan ibu pejabat sahaja untuk memenuhi jemputan ceramah dan pameran yang diterima setiap minggu di seluruh negara tanpa bantuan daripada cawangan-cawangan negeri.

Di samping itu, Aman Palestin bertindak satu langkah ke hadapan seperti NGO-NGO antarabangsa lain dengan menggunakan dana yang terkumpul untuk menerobos masuk ke media-media tempatan dan menggunakan alat bantu publisiti seperti papan pengiklanan bertujuan meningkatkan kadar kesedaran dan keterlihatan organisasi dalam masyarakat. Hal ini membuatkan kutipan dana dan permintaan kerjasama antara Aman Palestin dan entiti lain setiap tahun semakin meningkat. Perkembangan positif yang dapat dilihat tersebut telah membolehkan Aman Palestin menggerakkan lebih banyak bantuan untuk disalurkan kepada Palestin tahun demi tahun.

Sebagai pengakhiran, Aman Palestin tetap berdiri dan memikul amanah sebagai sebuah badan yang berintegriti menjalankan amanah memperjuangkan pembebasan Palestin dan Masjid Al-Aqsa. Kami sedar dan faham memang wujud golongan yang suka mengambil kesempatan ke atas sesuatu isu tular untuk membina persepsi buruk dan dijadikan kandungan media sosial bagi meraih perhatian umum. Kami juga sedar akan wujudnya pihak-pihak dan individu-individu yang tidak senang hati dengan kejayaan yang dicapai oleh Aman Palestin hari ini sehingga sanggup menabur fitnah untuk menjatuhkan kredibiliti. Kesemua fitnah dan persepsi buruk yang ditularkan adalah bertujuan supaya sumbangan kepada Palestin berkurangan. Ini adalah niat jahat dan fitnah yang wajib disingkirkan dan dihilangkan supaya rakyat Palestin menerima pembelaan dan bantuan yang paling baik dari kita semua. Di sini, pihak kami ingin menegaskan bahawa kami telahpun mengkaji dan menilai tindakan yang sesuai mengikut lunas undang-undang kepada mereka yang menyebarkan persepsi buruk dan tuduhan tidak berasas kepada Aman Palestin.

”Keprihatinan Palestin Tanggungjawab Kami”

BANGKIT, BERJUANG, BERSAMA.

Awang Suffian Awang Piut
Ketua Pegawai Eksekutif Aman Palestin Berhad
21 November 2023

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button