Berita UtamaDunia

Gencatan senjata takkan mampu selesaikan krisis di Gaza: PBB

Desak pembebasan tebusan tanpa syarat

WASHINGTON, 15 Jamadilawal 1445H, Rabu – Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mendesak gencatan senjata penuh dilakukan segera di Sememanjung Gaza.

Antonio Guterres berkata, jeda kemanusiaan antara rejim pengganas Israel dan Gerakan Perjuangan Islam Palestin (Hamas) tidak mampu menyelesaikan masalah utama.

“Pertama sekali saya ingin mengatakan bahawa gencatan senjata itu adalah satu langkah ke arah yang betul – simbol harapan, tetapi ia tidak menyelesaikan masalah utama yang kita hadapi.

“Jadi, kami mendesak supaya gencatan senjata penuh bagi membolehkan pembebasan tebusan tanpa syarat dilakukan serta-merta.

“Ia membolehkan lebih banyak bantuan kemanusiaan yang berkesan kepada semua penduduk di Gaza atau di mana sahaja mereka berada,” katanya pada sidang akhbar dengan Moussa Faki, Pengerusi Suruhanjaya Kesatuan Afrika.

Beliau turut mengulangi tuntutan sama selepas rejim negara haram itu menjelaskan berikrar menyerang Gaza selepas gencatan senjata ditamatkan.

“Pesanan saya sangat jelas, kami mahu gencatan senjata penuh.

“Kita kini berdepan situasi kemanusiaan yang sangat dramatik dan pada masa sama kami mahukan pembebasan penuh semua tebusan dilakukan tanpa syarat,” katanya.

Kelmarin, Qatar mengumumkan lanjutan gencatan senjata selama dua hari lagi sekali gus membolehkan lebih ramai pertukaran tebusan dapat dilakukan.

Rejim Israel melancarkan kempen ketenteraan secara besar-besaran di Sememanjung Gaza sejak 7 Oktober lalu.

Sejak itu, lebih 15,000 penduduk Gaza yang syuhada termasuk 6,150 kanak-kanak dan 4,000 wanita, menurut Kementerian Kesihatan Gaza. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button