Berita Utama

Anwar mahu laporan teliti masalah bekalan air berlarutan di UMS

Masalah sudah dirujuk kepada Menteri Pendidikan Tinggi

PUTRAJAYA, 27 Jamadilakhir 1445H, Selasa – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu pihak berkaitan mengemukakan laporan teliti berhubung masalah bekalan air yang masih berlarutan di Universiti Malaysia Sabah (UMS), sedangkan kerajaan telah meluluskan peruntukan RM3 juta tahun lepas bagi mengatasi masalah itu.

Berucap pada majlis perhimpunan bersama warga Kementerian Kewangan di sini hari ini, Anwar berkata beliau mendapat tahu dari media sosial mengenai mahasiswa UMS berdepan dengan masalah air, dan perkara itu dirujuk kepada Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir semalam.

“Saya tidak mengerti sama ada mungkin projek itu ambil masa, saya tidak mahu menghukum. Saya minta laporan teliti apa jadi sejak Menteri Kewangan luluskan peruntukan segera untuk selesaikan masalah air di universiti itu,” kata beliau yang juga Menteri Kewangan.

“Saya nak dapat laporan, mungkin KSP (Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Johan Mahmood Merican) boleh tanya ketua setiausaha kementerian berkenaan. Apa berlaku sejak kelulusan saya dan tindakan yang diambil oleh kementerian dan universiti,” katanya.

Kerajaan Persekutuan pada 31 Mei tahun lepas meluluskan peruntukan RM3 juta kepada UMS bagi membantu menyelesaikan masalah bekalan air yang menurut Anwar, beliau tidak mahu mahasiswa UMS menghadapi kesukaran menjalani kehidupan ketika menimba ilmu.

Semalam, Zambry turut mengumumkan peruntukan tambahan RM2 juta kepada UMS bagi tujuan sama sebagai penyelesaian jangka pendek dan panjang agar masalah bekalan boleh diatasi segera.- Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button