Berita Utama

TH guna sumber sendiri bantu jemaah haji

Pendeposit tidak perlu bimbang kemungkinan simpanan disalahguna

BANGI, 9 Rejab 1445H, Ahad – Lembaga Tabung Haji (TH) memperuntukkan sumber kewangan mereka sendiri bagi membantu jemaah menunaikan ibadah haji tahun ini.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan berkata, ianya dilaksanakan melalui Bantuan Kewangan Haji (HAFIS) yang disalurkan setiap tahun.

Justeru, para pendeposit TH tidak perlu bimbang mengenai kemungkinan simpanan mereka disalah guna.

“Saya menasihatkan untuk pendeposit tidak bimbang. TH telah memperuntukan sumber-sumber mereka sendiri untuk membantu kewangan, tidak mengganggu gugat atau menyusahkan pendeposit,” katanya seperti dipetik media tempatan.

Beliau mengulas mengenai kebimbangan pendeposit TH susulan langkah diambil agensi itu yang mengeluarkan pembiayaan sebanyak RM350.1 juta dalam Bantuan Kewangan Haji Bersasar kepada bakal haji Muassasah merangkumi kalangan B40 dan M40.

Dalam pada itu, Zulkifli berkata, kenaikan kos ibadah haji tahun ini tidak dapat dielakkan, namun TH dan kerajaan berusaha bagi memastikan peningkatan tersebut tidak terlalu membebankan.

Katanya, bantuan kewangan yang sangat besar diberikan kepada jemaah haji mengikut kategori masing-masing.

Terdahulu, TH mengumumkan kadar bayaran bagi seorang bakal haji Muassasah kumpulan B40 yang kali pertama menunaikan ibadah itu ditetapkan pada RM12,356 sementara untuk kumpulan M40 pula ditetapkan pada RM19,152.

Kos haji bagi seorang bakal haji Muassasah untuk musim haji 1445H/2024M meningkat lapan peratus kepada RM33,300 berbanding RM30,850 pada tahun 1444H/2023M.

Berita berkaitan:

Peningkatan kos haji disebabkan beberapa faktor: Zulkifli

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button