Dunia

Polis Israel serang konvoi pengebumian wartawan Al Jazeera

Pasang penghadang di pintu hospital, sekat jalan

RAMALLAH, 13 Syawal 1443H, Sabtu – Polis pengganas Israel terus biadab menyerang konvoi pengebumian wartawan veteran Al Jazeera, Shireen Abu Akleh ketika penduduk Palestin berhimpun beramai-ramai membawa keranda ke gereja. 

Sejumlah besar pasukan polis Israel mengepung Hospital Saint Joseph – tempat mayat Shireen disimpan – dengan memasang penghadang pada pintu masuk hospital dan di sepanjang jalan bagi mengelakkan ia dilalui kumpulan perarakan pengebumian.

Anggota polis bersenjata turut menyerbu premis hospital dan menyerang puluhan orang yang berkabung serta mengutuk pendudukan Israel sambil mengibarkan bendera Palestin.

Beberapa pemuda Palestin diserang dengan kayu oleh polis Israel selepas dihalang membawa keranda Shireen ke gereja di Old City.

Kenderaan yang membawa jenazah Shireen bagaimanapun dibenarkan ke Old City tanpa diiringi oleh sebilangan besar penduduk Palestin yang hadir memberikan penghormatan terakhir.

Difahamkan, enam rakyat Palestin yang hadir dalam perarakan penghormatan terakhir itu ditahan selepas diserang dengan kayu di Bab al-Khalil di Old City Baitulmaqdis.

Malah, puluhan yang lain turut mengalami sesak nafas akibat terhidu gas pemedih mata, selain lebam dan patah tulang.

Polis Israel turut menghalang gambar Shireen digantung bersama sepanduk yang mengutuk pembunuhannya di dinding luar gereja.

Shireen ditembak mati ketika membuat liputan serbuan pengganas Israel di Tebing Barat yang diduduki, dan perkara itu turut disahkan oleh agensi Al Jazeera.

Bagaimanapun, pengganas Israel menafikan perkara itu dan menuduh kematian Shireen adalah angkara lelaki bersenjata Palestin.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Amerika Syarikat (AS) dan Kesatuan Eropah (EU) menggesa supaya siasatan bebas serta telus dibuat.

Shireen, 51, seorang warga Palestin-Amerika adalah antara wartawan yang berpengalaman dalam melaporkan konflik Israel-Palestin untuk agensi berita Al Jazeera selama dua dekad. –  Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button