Dunia

Lebih 1,000 kes, 11 kematian akibat denggi di Sudan

Gedaref negeri paling terjejas kerana terdedah pembiakan nyamuk

KHARTOUM, 13 Rabiulawal 1445H, Jumaat – Sudan melaporkan lebih 1,000 kes demam denggi pada Khamis, dengan 11 kematian direkodkan di lapan negeri.

Kementerian Kesihatan Sudan memaklumkan, negeri Gedaref adalah yang paling terjejas ekoran terdedah pembiakan nyamuk dan kekurangan imuniti kelompok.

“Jumlah kes demam denggi yang dilaporkan melebihi 1,000 dengan 11 kematian. Kes demam denggi direkodkan di lapan negeri pada 2023, berbanding 12 negeri pada 2022,” katanya.

Sebelum ini, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) berkata, wabak taun dan demam denggi telah dilaporkan di timur Sudan.

Katanya, keadaan itu membimbangkan kepada ribuan penduduk yang berlindung ketika pertempuran antara tentera dan Pasukan Sokongan Pantas (RSF) di Khartoum serta bandar-bandar lain.

Sektor kesihatan negara itu dilanda beberapa siri krisis akibat konflik berterusan sejak April.

Lebih 3,000 orang terbunuh, manakala puluhan ribu cedera dan lebih lima juta kehilangan tempat tinggal ekoran kebanyakan keganasan tertumpu di sekitar ibu negara.- Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button