Berita Utama

Dewan Rakyat kecoh, perang mulut antara MP isu tukar Speaker

Anwar Ibrahim persoal niat kerajaan gantikan Mohamad Ariff

BANGI, 21 Zulkaedah 1441H, Isnin – Seperti dijangka, persidangan Dewan Rakyat yang membuka tirai hari ini ‘panas’ apabila usul untuk menggugurkan Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Mohamad Ariff Mohd Yusof dikemukakan.

Drama panas berlangsung selama lebih 30 minit ini berlaku apabila Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mempersoalkan niat kerajaan untuk menggantikan Mohamad Ariff.

Terdahulu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengemukakan usul untuk menggantikan Mohamad Ariff dengan alasan ada calon lain.

“Bahawa Dewan Rakyat ini mengambil ketetapan untuk Tuan Yang Dipertua, Yang Berhormat Tan Sri Dato’ Mohamad Ariff bin Md Yusof mengosongkan jawatannya atas alasan terdapat pencalonan lain bagi jawatan Tuan Yang Dipertua,” kata Muhyiddin.

Ahli Parlimen Pagoh itu bangun mengusulkan cadangan itu di hadapan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohd Rashid Hasnon.

Usul berkenaan disokong Ahli Parlimen Gombak, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali. Mohd Rashid kemudian membuka kepada sidang untuk membahaskan usul berkenaan.

Beliau mengeluarkan peraturan bahawa hanya dua wakil daripada kerajaan dan pembangkang boleh membahaskan usul tersebut.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim bangun sebaik sahaja usul dibuka untuk dibahaskan dan mempersoalkan mengapa perlu dihadkan perbahasan yang begitu penting itu kepada jumlah Ahli Parlimen dan masa yang terhad.

Beliau menyifatkan peraturan tersebut sebagai tidak adil kepada Ahli-Ahli Parlimen.

“Ini soal saya cadangkan Timbalan Speaker jangan ambil keputusan untuk menghalang daripada berbahas. Ini soal teknikal. Tidak ada sebab nak hadkan kepada dua orang kerana ini isu besar dan pertama kali dalam sejarah,” katanya.

Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad juga bangkit mempersoalkan kesalahan Mohamad Ariff yang telah dilakukan sehingga dia harus digugurkan.

“Apa salah Mohamad Ariff sehingga ia ditukarkan,” katanya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Takiyuddin Hassan turut bangun menjelaskan isu pertukaran Speaker Dewan Rakyat boleh dilakukan dan usul tersebut telah diterima oleh speaker sendiri.

Mohd Rashid gagal meredakan pertikaman lidah itu sehinggakan Ahli Parlimen Kota Raja, Mohamad Sabu bingkas bangun dengan menggelar beliau sebagai ‘bodoh’.

Mengikut Aturan Mesyuarat hari ini, Muhyiddin akan mengusulkan bekas Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Azhar Azizan Harun bagi menggantikan Mohamad Ariff sebagai Yang Dipertua.

Selain itu, beliau turut dijadual mengusulkan supaya Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Nga Kor Ming mengosongkan jawatan sebelum kemudiannya mengusulkan cadangan supaya Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said menggantikan Kor Ming.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button