Dunia

Russia keluarkan vaksin pertama COVID-19

Namakan Gam-Covid-Vac, didakwa boleh melawan selesema

MOSCOW, 25 Zulhijjah 1441H, Sabtu – Russia telah memulakan pengeluaran vaksin COVID-19 pertamanya, menurut Kementerian Kesihatan negara itu hari ini. 

Kumpulan vaksin awal diperuntukkan untuk memberi imunisasi kepada doktor dan kakitangan kesihatan, sebelum dibenarkan kepada umum. 

Russia secara rasmi mendaftarkan vaksin coronavirus pertama di dunia, yang dihasilkan oleh Gamaleya Research Institute of Epidemiology and Microbiology, pada Selasa lalu. 

Pengumuman itu menimbulkan keraguan kepada seluruh dunia ketika Russia merancang untuk meneruskan percubaan fasa ketiga terhadap pengeluaran dan penggunaan vaksin.

Bagaimanapun, Ketua Institut Penyelidikan Gamaleya, Alexander Gintsburg mempertahankan pendekatan itu, dengan mendakwa vaksin berkenaan berdasarkan kajian saintifik yang dibuat sejak beberapa dekad lalu. 

Vaksin yang disebut sebagai Gam-Covid-Vac iaitu singkatan daripada ‘Gamaleya Covid Vaccine’, dihasilkan untuk dua suntikan bagi memanjangkan imuniti. 

Perbezaan dalam setiap dos adalah jenis adenovirus yang digunakan untuk menghantar vaksin ke sel-sel badan. 

Untuk kesan maksimum, ejen imunisasi harus disuntik selang dua atau tiga minggu, bagi memberi tempoh bertenang kepada sistem imun yang berlawan dengan bahan asing. 

Menurut arahan penggunaannya, vaksin itu sesuai untuk mereka yang berusia antara 18 dan 60 tahun, selain boleh digabungkan dengan antigen lain, termasuk melawan selesema. –  Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button