Berita Utama

56 kes positif COVID-19 dikesan untuk sidang Parlimen

Babit 2 MP, 6 pegawai pengiring dan 48 pegawai dari agensi kerajaan

BANGI, 19 Zulhijjah 1442H, Khamis – Sebanyak 56 kes positif COVID-19 dikesan membabitkan dua Ahli Parlimen, enam pegawai pengiring dan 48 pegawai dari pelbagai agensi kerajaan setakat 28 Julai, kata Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Ketua Pengarah Kesihatan itu berkata, jumlah berkenaan menjadikan kadar positif adalah 2.7 peratus.

Beliau berkata, daripada jumlah itu, 39 kes atau 69.6 peratus terdiri daripada mereka yang belum lengkap dos vaksin atau belum menerimanya.

Katanya, hasil siasatan dan penilaian risiko yang dijalankan setakat semalam, kes-kes positif terbabit tidak mempunyai kaitan epidemiologi di antara satu sama lain.

“Individu yang disahkan positif tidak dibenarkan hadir ke sidang Parlimen. 

“Mereka telah diasingkan, dirawat dan diberi Perintah Pengawasan dan Pemerhatian (HSO) termasuk kepada kontak rapat kes positif tersebut sebelum hari bermula Sidang Mesyuarat Khas  Parlimen,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, siasatan diteruskan untuk mengesan kontak rapat kesemua kes positif, dan sehingga kini empat orang telah disahkan positif COVID-19.

“Keempat-empat kontak rapat ini tidak hadir sejak dari hari pertama persidangan berlangsung dan sedang dalam tindakan susulan oleh pihak kesihatan,” katanya.

Mengambil kira situasi semasa COVID-19 dan keputusan saringan dijalankan sebelum serta semasa Parlimen berlangsung, Kementerian Kesihatan (KKM) mencadangkan agar jumlah kehadiran secara fizikal dikurang dan tempoh persidangan dipendekkan.

“Perkara ini telah dicadangkan oleh Ketua Pengarah Kesihatan semasa Mesyuarat Penyelarasan Bagi Urusan Berkaitan Mesyuarat Bagi Dewan Rakyat berikutan Penularan Wabak COVID-19 pada 26 Julai 2021 jam 8 pagi.

“Bagi memastikan Sidang Khas Parlimen terus berjalan lancar, semua individu dikehendaki untuk mematuhi SOP dan peraturan-peraturan sedia ada,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata, pasukan kesihatan dari Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur bersama Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan (MKAK) juga telah ditempatkan di bangunan Parlimen untuk menyelaras saringan demam dan bergejala.

“Sehingga 28 Julai 2021, seramai 104 individu menjalani ujian saringan kendiri ‘RTK-Ag Self Test Kit’ menggunakan sampel saliva dan mendapati kesemuanya negatif COVID-19.

“Sekiranya terdapat kes positif COVID-19 dikesan dalam kalangan individu yang menghadiri Parlimen, siasatan akan dijalankan termasuk pengesanan kontak dan punca jangkitan,” katanya.

Selain daripada itu, katanya, penilaian risiko juga akan dijalankan untuk mengetahui sama ada terdapat penularan jangkitan berlaku di kalangan mereka yang hadir ke Parlimen dan keperluan penutupan sementara untuk menjalankan langkah-langkah pencegahan serta kawalan.

“Berdasarkan penilaian risiko dijalankan oleh pasukan kesihatan yang ditempatkan di Parlimen, buat masa ini tiada penularan jangkitan COVID-19 dikesan.

“Namun, pemantauan dan penilaian risiko akan diteruskan sehingga Sidang Mesyuarat Parlimen ini tamat,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button