Dunia

IOC benar atlet pakai tudung Sukan Olimpik Paris 2024

Peraturan tidak terpakai kepada atlet Perancis

PARIS, 14 Rabiulawal 1445H, Sabtu – Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) memutuskan untuk membenarkan peserta memakai tudung pada Sukan Olimpik Paris 2024.

Kebenaran itu diputuskan hanya beberapa hari selepas Menteri Sukan Perancis sebelum ini melarang pemakaian tudung ke atas atlet negara tuan rumah.

Bagaimanapun, ketetapan IOC itu tidak terpakai bagi atlet Perancis kerana mereka masih tertakluk kepada peraturan persekutuan sukan yang tidak membenarkan pemakaian tudung ketika temasya berkenaan.

Jurucakap IOC berkata, pihaknya sedang berhubung dengan Jawatankuasa Olimpik Perancis (CNOSF) bagi lebih memahami situasi atlet negara itu.

“Untuk Kampung Olimpik, peraturan IOC terpakai. Tiada sekatan untuk memakai tudung atau pakaian agama atau budaya lain,” katanya.

Perkampungan Olimpik menjadi rumah kepada 10,000 atlet yang menghadiri temasya sukan terbesar itu, di mana mereka berkongsi ruang bersama seperti dewan makan dan kemudahan rekreasi.

Ahad lalu, Menteri Sukan Perancis, Amelia Oudea-Castera mengumumkan bahawa atlet negara itu tidak dibenarkan memakai tudung ketika Sukan Olimpik Paris bagi menghormayi prinsip sekularisme.

Katanya, kerajaan menentang paparan simbol ketika acara sukan untuk memastikan prinsip berkecuali mutlak dalam perkhidmatan awam.

Januari tahun lalu, senator Perancis mengundi untuk mengharamkan tudung dalam pertandingan sukan dan pada Julai tahun ini, mahkamah tertinggi Perancis mengekalkan larangan hijab ketika pertandingan bola sepak.

Walaupun menjadi rumah kepada minoriti Islam terbesar di Eropah, Perancis adalah satu-satunya negara di benua itu yang mengecualikan atlet berhijab dalam kebanyakan pertandingan sukan domestik.- Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button