Berita Utama

UMNO bangkit bukan kerana PAS: Mohamad Hasan

‘Tanpa UMNO, PAS tidak akan berada dalam kerajaan Persekutuan hari ini’

KUALA LUMPUR, 26 Jamadilakhir 1443H, Sabtu – Datuk Seri Mohamad Hasan nampaknya dengan yakin menyatakan bahawa UMNO bangkit semula bukan kerana ‘ubatan mujarab’ PAS, sebaliknya kerana dukungan orang Melayu terhadap UMNO.

Timbalan Presiden UMNO itu turut menyatakan bahawa UMNO juga bangkit kerana buruknya prestasi kerajaan Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN).

Justeru, beliau tidak terkesan seandainya PAS menggelar UMNO dengan gelaran ‘itik tempang’ sekalipun.

“Gelarlah dengan apa pelbagai gelaran apa pun – itik, angsa, harimau dan sebagainya kerana hakikatnya UMNO masih lagi parti Melayu terbesar,” katanya.

Tidak cukup dengan itu, katanya lagi, tanpa UMNO, PAS juga tidak boleh menjadi sebahagian daripada kerajaan Persekutuan hari ini.

“PAS tahu, tanpa UMNO parti itu tidak akan dapat kekal menjadi sebahagian dalam kerajaan Persekutuan selepas pilihan raya umum (PRU) nanti.

“Oleh itu, jika PAS merasakan Barisan Nasional (BN) tidak lagi relevan, pulangkanlah kepada rakyat untuk memutuskannya dan biarlah rakyat juga memutuskan sama ada PAS dan Perikatan Nasional (PN) masih relevan atau tidak,” katanya.

Terdahulu, Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang menyatakan kekesalan terhadap sikap segelintir pemimpin UMNO yang seolah-olah lupa diri walaupun PAS bertungkus-lumus menyelamatkan parti itu selepas tewas pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Abdul Hadi menyifatkan tindakan UMNO sebagai tidak bermoral kerana mereka bersama-sama terlibat dalam gagasan Muafakat Nasional (MN).

“PAS bukan mahu mengajar itik berenang, kita cuma nak selamatkan itik yang patah kaki dalam PRU14.

“Tetapi, malangnya apabila kaki sudah sembuh, itik itu mahu berenang sendiri dan tinggalkan kita. Benda ini tidak bermoral,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan kuliah mingguan di Masjid Rusila.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button