Dunia

India gesa pelajarnya segera tinggalkan bandar Kharkiv

Satu perempat warga India dari 76,000 pelajar asing di Ukraine

NEW DELHI, 29 Rejab 1443H, Khamis – Kementerian Luar India menggesa pelajarnya di Ukraine untuk segera meninggalkan bandar Kharkiv di selatan negara itu yang kini teruk diserang tentera Russia.

Serangan udara dan roket Russia melanda Kharkiv pada Rabu, selepas hampir seminggu pencerobohan Moscow ke atas Ukraine, menurut perkhidmatan kecemasan tempatan.

Pada Selasa, seorang pelajar warganegara India terbunuh akibat serangan ke atas Kharkiv, manakala ribuan yang lain masih terperangkap di zon perang itu.

“Kita mengeluarkan nasihat ini berdasarkan input yang diberikan pihak Russia,” kata jurucakap Kementerian Luar India, Arindam Bagchi.

Bagaimanapun, beliau tidak menyatakan jumlah pelajar India di Kharkiv.

Nasihat kementerian itu menyatakan bahawa pelajar mesti sampai ke bandar serta penempatan berdekatan melalui sebarang pengangkutan atau berjalan kaki untuk keselamatan sendiri.

Kharkiv adalah bandar kedua terbesar di Ukraine – yang terletak berhampiran sempadan Russia – dengan populasi 1.5 juta penduduk.

Sebelum konflik berlaku, warga India merupakan kira-kira satu perempat daripada 76,000 pelajar asing di Ukraine, dan ia setakat ini adalah jumlah terbesar, menurut data kerajaan Ukraine.

Kebanyakan pelajar India di Kharkiv adalah penuntut dalam jurusan perubatan.

Sebelum ini, India menggesa Russia serta Ukraine menghentikan permusuhan dan membenarkan laluan selamat untuk rakyatnya. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button