Berita Utama

Demonstrasi takkan selesaikan isu kenaikan harga barang

Harap kerajaan ambil tindakan jika terdapat unsur ‘permainan’ kartel

KUALA LUMPUR, 2 Zulhijjah 1443H, Sabtu – Penganjuran demonstrasi tidak menyelesaikan isu kenaikan harga barang dan kos sara hidup yang dihadapi rakyat kini, malah dilihat sebagai menjejaskan usaha yang dilaksanakan kerajaan.

Penganalisis Keselamatan dan Politik, Pusat Pengajian Perang Saraf Media dan Informasi Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr Noor Nirwandy Mat Noordin berkata, perhimpunan dan protes di jalanan hanya akan mewujudkan suasana beremosi tinggi yang membawa pelbagai elemen kemarahan.

“Tindakan seperti itu juga mampu mencetuskan elemen-elemen provokatif apabila wujud unsur subversif yang campur tangan dalam perhimpunan berkenaan sehingga bercanggah dengan motif asas penganjurannya,” katanya.

Justeru, katanya, rakyat perlu mendapatkan maklumat sahih dan memahami situasi semasa agar tidak terjebak dalam tindakan melulu yang tidak membawa faedah kepada negara.

Selain itu, beliau juga berharap agar kerajaan akan mengambil langkah intervensi secara menyeluruh sekiranya terdapat unsur-unsur ‘permainan’ kartel dalam kenaikan harga barangan apabila laporan Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) dikeluarkan kelak.

“Kita perlu lihat juga kepada laporan MyCC, sama ada wujudkah kartel-kartel yang bertindak menaikkan harga barang dan mengambil kesempatan terhadap orang awam dan bukannya sekadar melihat solusi-solusi bersifat jangka pendek kerana kenaikan harga barang itu tidak boleh dikawal sepenuhnya oleh pihak kerajaan.

“Selagi kita tidak memahami punca sebenar, selagi itu kita cuba bantu berikan idea-idea solusi, memberi ruang dan masa kepada kerajaan untuk menyelesaikan perkara ini melalui saluran-saluran yang betul,” katanya.

Semalam Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa dilaporkan berkata, ketidakseimbangan antara penawaran dan pemintaan adalah antara sebab kenaikan harga barangan di pasaran pada masa ini.

Katanya, Pasukan Tugas Khas Jihad Tangani Inflasi yang dipengerusikannya akan mencari kaedah menyeimbangkan penawaran dan permintaan barangan di pasaran. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button