Berita Utama

Rakyat sedang susah, tak salah kibar bendera putih

Kerajaan patut ketepi ego, jadi entiti pertama salur bantuan

Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin

BANGI, 21 Zulkaedah 1442H, Jumaat – Kerajaan perlu mengetepikan ego apabila ada di kalangan rakyat terpaksa mengibarkan bendera putih di rumah masing-masing ekoran kesusahan hidup yang menimpa di zaman pandemik COVID-19.

Ketua Penerangan Barisan Nasional (BN), Isham Jalil berkata, hakikatnya, tiada siapa yang mahu mengibarkan bendera putih untuk memohon bantuan jika mereka tidak benar-benar tertekan dan tiada arah.

“Keadaan rakyat yang sengsara ini benar. Daripada anak-anak kebuluran di rumah atau bunuh diri kerana tekanan, lebih baik kibarkan bendera putih untuk minta bantuan supaya sesiapa yang boleh bantu dapat hulurkan bantuan segera.

“Pada saya tidak salah untuk mengibarkan bendera putih. Malah, jika ianya boleh mencegah mudarat yang lebih teruk, ianya harus dibuat.

“Ketika saya mengetuai Sukarelawan Malaysia dahulu, saya telah jumpa ramai orang susah. Di Malaysia ini memang masih ramai orang susah, dan di kala wabak COVID-19 dan PKP ini, jumlah mereka semakin bertambah,” katanya kepada Ismaweb.net, hari ini.

Menggesa kerajaan berdepan dengan realiti, Isham meminta para pemimpin supaya mengetepikan ego mereka serta tidak menjadikan isu ini sebagai suatu polemik.

Ini kerana, katanya, kerajaan sepatutnya menjadi entiti pertama memberi bantuan kepada sesiapa yang mengibarkan bendera putih.

“… bukan suruh rakyat turunkan bendera putih kerana kerajaan malu lantas menuduh ianya propaganda. Kepada kerajaan, ketepikan ego, dan bantulah rakyat,” katanya.

Kempen bendera putih adalah usaha warganet bagi memudahkan rakyat yang memerlukan dan tiada bekalan makanan mendapatkan bantuan dengan mengibarkannya di halaman rumah.

Bagaimanapun, inisiatif ini tidak diterima baik segelintir pihak termasuk pemimpin kerajaan negeri dengan mendakwa ia bermotif politik.

Bahkan, kempen itu disifatkan tidak wajar kerana dianggap seolah-olah menyerah kalah.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button