Berita Utama

Tanah Palestin semakin pupus, kurang daripada 10 peratus

UAE pembelot iktiraf penjajahan tanah wakaf umat Islam?

BANGI, 18 Muharram 1442H, Ahad – Naib Presiden gerakan Islam, Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Prof Dr Zainur Rashid Zainuddin kesal dengan tindakan Emiriah Arab Bersatu (UAE) yang bakal membuka kedutaan di negara haram Israel.

Terdahulu, seorang pegawai kanan UAE mendedahkan, negara itu bakal membuka kedutaan di Israel dalam tempoh antara tiga hingga lima bulan.

Akhbar Israel, Hayom memetik pegawai Kementerian Luar Negeri UAE yang tidak disebutkan namanya mengatakan bahawa penduduk Israel boleh mendapatkan visa untuk melakukan perjalanan ke negara Arab Teluk Parsi itu setelah pembukaan misi diplomatik.

“Saya rasa orang Israel akan dapat visa perjalanan ke UAE dari kedutaan yang akan dibuka di Israel selepas tiga hingga lima bulan dari sekarang.

“Kami bercita-cita untuk mengadakan perjanjian damai dengan Israel, tetapi perdamaian pada hakikatnya dengan semua orang Israel, dan sangat penting bagi kami untuk tersedia bagi penduduk Arab Israel, yang kami anggap sebagai rakan penting untuk perdamaian yang hangat,” katanya.

Katanya lagi, Abu Dhabi juga sedang mempertimbangkan hasrat untuk membuka konsulat di Haifa atau Nazareth yang berfungsi di samping kedutaan di Israel.

Mengulas perkara itu, Prof Dr Zainur Rashid berkata, seperti sedia maklum UAE menjadi negara Arab ketiga yang mengiktiraf negara haram Israel selepas Mesir dan Jordan.

Katanya, Palestin adalah tanah wakaf milik umat Islam sejagat yang dijajah sedikit demi sedikit sehingga diisytiharkan sebagai negara Israel pada 15 Mei 1948.

“Selain daripada hilangnya Palestin dari peta dunia sejak 1948, tanah milik rakyat Palestin juga semakin pupus sehingga kurang daripada 10 peratus daripada keseluruhan keluasan negara asal Palestin.

“Bagaimana mungkin negara-negara Arab (pembelot) ini mengiktiraf penjajahan kepada tanah wakaf milik umat Islam sedunia?,” soalnya menerusi kenyataan, hari ini.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button