Berita Utama

DAP mula tunjuk taring, gelojoh desak iktiraf UEC

Perpaduan nasional boleh dicapai jika guna sistem pendidikan satu aliran

BANGI, 4 Jamadilawal 1444H, Selasa – Belum pun Kabinet kerajaan baharu yang dipimpin Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim terbentuk, pihak pendesak tertentu melalui parti tamak haloba, DAP sudah mula menunjukkan taring menggesa pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC).

Setiausaha Agung BERJASA, Zulkifli Yahya menyifatkan gesaan DAP melalui Dong Zong supaya mengiktiraf UEC di peringkat nasional sebagai satu tindakan yang sangat gelojoh.

Apatah lagi, selama lebih 60 tahun sijil berkenaan tidak mendapat pengiktirafan di Malaysia berikutan silibusnya yang bertentangan dengan sistem Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), katanya.

Justeru, beliau menganggap desakan golongan berkenaan sebagai bukti mereka sanggup melakukan apa sahaja demi menjulang agenda sistem pendidikan luar itu.

“Sejak kemerdekaan 1957, kerajaan Malaysia menyeru agar semua sekolah termasuk sekolah agama dan sekolah Cina melakukan penyerahan tanah, aset dan kesemua hak terhadap harta sekolah kepada kerajaan Malaysia.

“Sebagai balasan, segala pembiayaan berkaitan pembangunan dan sukatan pembelajaran akan diselia penuh oleh kerajaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Bagaimanapun, beliau berkata, terdapat segelintir masyarakat Cina yang tidak pernah terbabit dalam sebarang usaha penyatuan sistem pendidikan kerajaan.

Zulkifli berkata, Dong Zong yang ditubuhkan sejak 1954 telah menjadi jurucakap pendidikan kaum Cina yang telah disambut oleh parti politik seperti MCA, DAP dan Gerakan untuk diangkat di peringkat lebih tinggi.

“Sistem pendidikan nasional sedia ada sudah berjaya menerapkan budaya kita tersendiri, menjulang prinsip tersendiri serta mengangkat martabat negara sebagai satu identiti masyarakat majmuk.

“Mengapakah sistem pendidikan luar perlu dibenarkan masuk secara rasmi ke dalam kancah pendidikan negara? Saya yakin seribu satu alasan mampu diutarakan oleh DAP dan konconya,” katanya.

Beliau berkata, sistem pendidikan negara tidak pernah mendiskriminasi kaum, apatah lagi menghalang pembelajaran bahasa ibunda kaum lain.

Katanya, bangsa Melayu telah banyak bertoleransi demi keamanan dan kemakmuran masyarakat majmuk yang dijadikan sebagai identiti nasional.

“Namun, jangan sifat toleransi ini memakan diri sendiri ditambah hanya merugikan anak bangsa generasi masa hadapan.

“Perpaduan yang diimpikan akan wujud sekiranya semua pihak menggunakan sistem pendidikan yang satu sebagai sebuah medium perpaduan nasional,” katanya.

Sebelum ini, Dong Zong dilaporkan menggesa kerajaan baharu mengiktiraf UEC dan memberi peruntukan secara kekal kepada sekolah aliran persendirian Cina.

Menurut laporan Sin Chew Daily, mesyuarat bersama Dong Zong kali ke-93 sebulat suara meluluskan dan menerima 11 cadangan termasuk menggesa Pengerusi Pakatan Harapan (PH) mengiktiraf UEC dan menginstitusikan Sekolah Menengah Persendirian Cina secepat mungkin.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button