Hungary pindah kedutaan di Israel ke Baitulmaqdis bulan depan
Tindakan konon tanda sokongan Orban terhadap Netanyahu

RAMALLAH, 11 Syaaban 1444H, Sabtu – Hungary akan memindahkan kedutaannya di Israel ke Baitulmaqdis bulan depan, menurut media Israel pada Jumaat.
Pemindahan itu dibuat kononnya sebagai tanda sokongan Perdana Menteri Hungary, Viktor Orban kepada rakan sejawatnya, Benjamin Netanyahu.
Tindakan itu sekali gus menjadikan Hungary negara anggota pertama Kesatuan Eropah (EU) yang membuka kedutaan di Baitulmaqdis – yang didakwa Israel sebagai ibu negaranya, tetapi tidak diiktiraf kebanyakan negara dan statusnya di bawah undang-undang antarabangsa dipertikaikan.
Jurucakap Kementerian Luar Hungary, Mate Paczolay bagaimanapun tidak mengesahkan laporan itu namun mendakwa akan memaklumkan perkembangan terkini sebarang perubahan kepada kedutaan.
“Kami sudah memindahkan jabatan komersial Kedutaan Israel ke Baitulmaqdis beberapa tahun lalu.
“Perasmian perwakilan perdagangan asing diumumkan bersama oleh Menteri Luar Negeri, Peter Szijjarto dan Perdana Menteri Benjamin Netanyahu,” katanya menjawab soalan mengenai laporan.
Sementara itu, jurucakap Kementerian Luar Israel enggan mengulas perkara berkenaan.
Di bawah pentadbiran bekas Presiden Donald Trump, Amerika Syarikat (AS) memindahkan kedutaannya ke Baitulmaqdis pada 2018, tetapi hanya segelintir negara lain yang melakukan perkara sama. – Agensi