Berita Utama

Tambah baik segera kadar pencen hilang upaya veteran tentera

Veteran alami kecederaan kekal sejak 1976 hanya dibayar RM114.24 setiap bulan

BANGI, 3 Ramadan 1444H, Sabtu – Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM) menggesa kerajaan menambah baik kadar pencen hilang upaya (PHU) dan kadar elaun sentiasa (ELS) yang tidak menjalani penstrukturan baharu sejak 22 tahun lalu.

Presidennya, Datuk Sharuddin Omar kesal kerana kerajaan sudah sedia maklum bahawa PHU dan ELS kepada veteran cedera ketika bertugas masih menggunakan kadar lama.

Walhal, ia harus dikaji semula kerana sudah lapuk, tegasnya.

“Saya difahamkan ketika ini jumlah penerima faedah PHU tidaklah terlalu besar, hanya seramai 1,798 veteran yang cedera parah semasa bertugas.

“Sebilangan besar mereka cedera dalam operasi menentang Parti Komunis Malaya (PKM) di zaman negara menghadapi Darurat Kedua.

“Mereka adalah veteran yang cedera di tahap 21 hingga ke 100 peratus ketika bertugas. Daripada jumlah berkenaan, 14 orang Veteran PHU layak menerima ELS,” katanya seperi dilapor Sinar Harian.

Sharuddin mengambil contoh, ada dalam kalangan veteran yang mengalami kecederaan kekal sejak 1976, namun kerajaan hanya mampu membayar sebanyak RM114.24 setiap bulan.

“Sebagai contoh seorang veteran dari Kampung Kok Lanas, Ketereh, Kelantan putus kaki dari buku lali ke bawah terpijak ‘bobby trap’ komunis di Gubir, Sik, Kedah pada tahun 1976.

“Kecederaan kekal akibat tindakan musuh hanya dibayar PHU RM114.24 sebulan. Bayangkan kecederaan berlaku sejak tahun 1976 (sudah 47 tahun yang lalu). Namun, kerjaaan hanya mampu bayar RM114.24 sebulan,” katanya.

Beliau berkata, Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) sudah menjalankan kajian sejak tahun lalu dengan harapan kerajaan tidak mengambil masa yang terlalu lama untuk melaksanakannya.

Terdahulu, dilaporkan bahawa Kementerian Pertahanan sedang menilai semula skim pencen bekas anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) secara menyeluruh termasuk pemberian pencen hilang upaya, kebajikan dan pengurusan perkhidmatan kesihatan.

Timbalan Menterinya, Adly Zahari berkata, antara lain, kajian dan semakan semula itu mengambil kira pelbagai aspek termasuk tangga gaji, keadaan hilang upaya dan tanggungannya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button