Berita UtamaDunia

Finland kini secara rasmi ahli NATO

Russia ancam tindakan balas jika pakatan kerah tentera ke negara Nordik

BRUSSELS, 14 Ramadan 1444H, Rabu – Finland kini secara rasmi menyertai Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) walaupun berulang kali menerima amaran daripada Russia.

Moscow mengancam akan mengambil tindakan balas dan merancang meningkatkan kapasiti ketenteraannya, berhampiran sempadan negara Nordik, jika pakatan itu mengerahkan sebarang tentera atau peralatan tambahan kepada Finland.

Di ibu pejabat NATO di Brussels, satu majlis telah diadakan pada hari Selasa, di mana Setiausaha Agung NATO, Jens Stoltenberg, Menteri Luar Finland, Pekka Haavisto dan Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Antony Blinken menyempurnakan formaliti terakhir penyertaan Finland ke dalam pakatan itu di hadapan media.

“Kami kini mengisytiharkan Finland adalah anggota ke-31 perjanjian Atlantik Utara,” Blinken mengesahkan, selepas Haavisto menandatangani perjanjian keanggotaan Finland dalam NATO.

Secara berasingan, Presiden Finland, Sauli Niinistö turut mengesahkan keahlian negaranya dalam satu kenyataan.

“Finland hari ini telah menjadi anggota pakatan pertahanan NATO. Era ketidakselarasan tentera dalam sejarah kita telah berakhir. Era baharu bermula.

“Setiap negara memaksimumkan keselamatannya sendiri. Begitu juga Finland. Pada masa yang sama, keahlian NATO mengukuhkan kedudukan antarabangsa dan ruang untuk kami bergerak. 

“Sebagai rakan kongsi, kami telah lama mengambil bahagian secara aktif dalam aktiviti NATO. Pada masa hadapan, Finland akan membuat sumbangan kepada pencegahan dan pertahanan kolektif NATO,” kata Niinisto. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button