Dunia

Indonesia: Penduduk lari ke tempat tinggi, panik risiko tsunami

Gegaran kuat berukuran 7.1 magnitud berlaku selama 30 saat

JAKARTA, 4 Syawal 1444H, Selasa – Gempa bumi kuat dasar laut yang melanda timur Indonesia awal Selasa, mencetuskan panik dalam kalangan penduduk hingga memaksa orang ramai melarikan diri ke kawasan lebih tinggi ekoran bimbang risiko bencana tsunami.

Rakaman yang dikeluarkan Agensi Mitigasi Bencana Kebangsaan (BNBP) menunjukkan aliran orang ramai di sebuah kampung di Pulau Metawai melarikan diri ke tanah tinggi dengan berjalan kaki dan menaiki motorsikal.

Sementara beberapa pesakit di hospital kampung itu turut dipindahkan ke kawasan lapang berikutan berlaku keretakan pada struktur lantai premis itu.

Gempa bumi berkekuatan 7.1 magnitud itu turut dirasai di daerah dan bandar Sumatera Barat serta wilayah Sumatera Utara.

Jurucakap agensi, Abdul Muhari berkata, penduduk di bahagian wilayah Sumatera Barat – termasuk ibu kota Padang – merasakan gegaran kuat itu selama kira-kira 30 saat.

“Ramai penduduk di beberapa kampung di Pulau Mentawai memilih untuk terus berpindah di kawasan lebih tinggi walaupun amaran tsunami sudah ditamatkan kerana bimbang akan berlaku gegaran susulan,” katanya.

Pusat Kajian Geologi AS (USGS) berkata, gempa bumi berukuran 7.1 skala Richter itu berpusat 170 kilometer tenggara Teluk Dalam, sebuah bandar pantai di Kabupaten Nias Selatan di Sumatera Utara.

Gegaran susulan turut direkodkan pada ukuran 5.8 magnitud.

Agensi Meteorologi, Klimatologi dan Geofizik (BMKG) Indonesia mengeluarkan amaran tsunami, namun menarik balik kira-kira dua jam selepas gempa bumi berlaku. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button