Berita Utama

Hidupkan semula masyarakat sivil melalui laporan media adil, berfakta: PM

Anwar harap media terus tegakkan prinsip demokrasi

KUALA LUMPUR, 12 Syawal 1444H, Rabu – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengulangi komitmen dan keazaman kuat kerajaan untuk menghidupkan semula prinsip masyarakat sivil melalui laporan media yang adil dan berfakta.

Beliau berkata demikian dalam ciapan di laman Twitter sebagai respons kepada laporan Reporters Without Borders (RSF) yang menyatakan Malaysia menduduki tempat ke-73 dengan 62.83 mata dalam Indeks Kebebasan Akhbar Dunia 2023 berbanding tempat ke-113 dengan 51.55 mata tahun lepas.

Malaysia juga berada di kedudukan tertinggi dalam kalangan negara Asean, mendahului Thailand (106), Indonesia (108), Singapura (129), Filipina (132), Brunei (142), Kemboja (147), Laos (160), Myanmar (173) dan Vietnam (178).

Indeks itu, yang diterbitkan di laman web RSF, bertujuan untuk membandingkan tahap kebebasan media di 180 negara dan wilayah di dunia.

Dalam ciapannya, Perdana Menteri turut melahirkan harapan agar media akan terus bekerja dan menegakkan prinsip demokrasi.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button