Berita Utama

Dakwa LTTE bukan pengganas, Tun M cuba tutup cerita surat tular

Tun M diminta tarik balik kenyataan, LTTE bahaya kepada negara

Oleh Siti Hafidah Abd Ghaffar

BANGI, 15 Muharram 1442H, Khamis – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad diminta menarik kembali kenyataannya berhubung kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Elam (LTTE).

Presiden gerakan Islam Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Haji Aminuddin Yahaya berkata, Dr Mahathir seharusnya sedar bahaya dibawa LTTE dan tahu apa yang mereka lakukan boleh menggugat negara.

“LTTE telah diisytiharkan sebagai kumpulan pengganas tak kira sama ada di Sri Lanka atau di mana-mana kerana ia tetap bahaya.

“Seperti juga Jemaah Islamiah yang ditangkap di Singapura dan kemudian di Malaysia. Ini bukan jenayah biasa tetapi pengganas,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.

Haji Aminuddin yakin tindakan Dr Mahathir itu bagi menutup isu penyebaran surat meminta Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengeluarkan LTTE daripada senarai pengganas.

Selain itu, beliau turut membidas, bekas Perdana Menteri itu menggunakan contoh pergerakan Hamas yang dilabelkan sebagai pengganas oleh Amerika Syarikat (AS).

“Dr Mahathir cuba untuk ‘cover’ balik surat yang telah ‘tersilap’ buat.

“Macam mana Hamas kita boleh kata pengganas walhal mereka di Palestin, mereka memperjuangkan tanah Palestin dari diceroboh. Malah, sekarang mereka dah jadi kerajaan kerana menang dalam pilihan raya,” katanya.

Terdahulu, Dr Mahathir menjelaskan isu penyebaran surat meminta KDN mengeluarkan LTTE daripada senarai pengganas, tidak bermaksud beliau menyokong pergerakan itu.

Beliau bagaimanapun tidak mengesahkan kesahihan surat terbabit dan menegaskan Malaysia tidak seharusnya melabel sesebuah organisasi sebagai pengganas hanya kerana negara lain berbuat demikian.

“Bukan bermaksud saya sokong LTTE, saya tak sokong LTTE, saya bukan kata Hamas itu pengganas, Hamas ditakrif sebagai pengganas oleh Amerika Syarikat.

“Saya dulu pun jumpa pemimpin Hamas, Ismail Haniyeh, kita bincang mengenai perjuangan dia, dia berkawan dengan saya, jadi itu saya nak terangkan, tak perlu cari masalah.

“Masalah (LTTE) itu berlaku di Sri Lanka, tak perlu ambil tindakan macam itu (di negara ini),” katanya.

Isu LTTE menjadi hangat apabila 12 individu termasuk dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) didakwa di mahkamah atas tuduhan memberi sokongan dan memiliki item berkaitan kumpulan itu.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button