Berita Utama

Dakwaan Sanusi fakta sejarah, tak boleh diputar belit

Pertahan naratif sejarah Pulau Pinang bukan jenayah

BANGI, 17 Zulkaedah 1444H, Selasa – Tindakan mempertahan naratif sejarah Pulau Pinang adalah milik Kedah bukan suatu perlakuan jenayah, selain tidak ada merit untuk mengklasifikannya sebagai suatu bentuk hasutan yang termaktub di bawah Akta Hasutan.

Pesuruhjaya PAS Kedah, Datuk Ahmad Yahaya berkata, pemilikan Pulau Pinang oleh Kedah adalah fakta sejarah yang tidak boleh diputar belit bahkan mempunyai sokongan kajian yang kukuh.

Atas dasar itu katanya, PAS Kedah menyokong penuh kenyataan dikeluarkan Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berhubung isu itu.

“Perdana Menteri tidak harus secara berterusan mempolitikkan isu ini. Kecaman dan tekanan yang dihamburkan terhadap Kedah bertitik tolak daripada dendam kekalahan besar Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu.

“Kerajaan Negeri Kedah telah berulang kali menuntut hak pajakan Pulau Pinang, penyelesaian isu caj air mentah serta kelulusan projek Kedah Aerotropolis.

“Malangnya kesemua ini sengaja didiamkan serta dilengahkan tidak sebagaimana pantasnya Perdana Menteri tersinggung dengan isu pemilikan Pulau Pinang pada hari ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata, PAS Kedah turut berpegang kepada pendirian bahawa isu ini tidak harus disamakan dengan isu tuntutan Kesultanan Sulu ke atas Sabah mahupun hubungan Siam dengan Kedah.

Malah isu Pulau Pinang milik Kedah yang dibangkitkan pada hari ini juga tidak melibatkan kedaulatan sempadan negara.

“Oleh itu, PAS Kedah yakin bahawa membahaskan fakta sejarah bukan suatu kesalahan jenayah.

“Hakikatnya, sememangnya terdapat usaha membunuh karakter seorang yang bernama Sanusi. Mereka lebih berminat menjatuhkan Menteri Besar Kedah berbanding berbahas soal sejarah,” katanya.

Terdahulu, Anwar mengesahkan Muhammad Sanusi kini disiasat mengikut Kanun Keseksaan dan Akta Hasutan susulan tindakannya mendakwa Pulau Pinang adalah milik Kedah.

Muhammad Sanusi dilaporkan berkata, Kedah dan Pulau Pinang tidak ada sempadan kerana Pulau Pinang masih hak Kedah dan beliau mendakwa Kedah hanya mempunvai sempadan dengan Perak dan Perlis.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button