Berita UtamaIstimewa

Isu Pulau Pinang milik Kedah tak wajar diheret ke kancah politik, bimbang hilang rasional

Ramai sejarawan masih ‘angkat’ penjajah, pakar syor tafsiran sejarah demi kepentingan nasional bukan jenayah

Oleh Siti Hafidah Abd Ghaffar

BANGI, 4 Zulhijjah 1444H, Jumaat – Isu dibangkitkan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor bahawa Pulau Pinang adalah milik negeri itu bukan perkara baharu sebaliknya sudah kedengaran sejak sekian lama.

Meskipun begitu, perbahasan yang wujud ketika ini berhubung isu tersebut dilihat sebagai satu perkembangan yang sihat.

Namun, ia tidak seharusnya diheret ke kancah politik bagi tujuan jangka masa pendek kerana dibimbangi akan hilang rasionaliti.

Profesor Sejarah Sosial dan Intelektual, Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam, Universiti Islam Antarabangsa (ISTAC-IIUM), Prof Datuk Dr Ahmad Murad Merican berkata, dalam membincangkan kemelut ini kerajaan perlu membenarkan teguran demi kepentingan semua pihak.

Apa yang penting, katanya, isu sejarah Kedah dan Pulau Pinang tidak dilihat sebagai isu partisan serta tidak diceritakan daripada perspektif mana-mana parti politik, sebaliknya segala perdebatan yang sihat hendaklah berpaksikan kepada kepentingan negara.

“Ada beberapa cadangan terkini dalam menyemak dan menghalusi isu ini iaitu penubuhan jawatankuasa serta penubuhan suruhanjaya sejarah kebangsaan.

“Keadaan ini juga menuntut ahli sejarah, pakar undang-undang, pakar hubungan antarabangsa dan lain-lain duduk semeja dalam menjelaskan apa yang berlaku, bagaimana, mengapa, pada zaman yang dipertikaikan itu dan saya kira antara 1786 hingga 1909.

“Ia memerlukan pendekatan pelbagai ilmu dan bidang, termasuk sosiologi, sains politik, sejarah, undang-undang dan jurisprudence,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net.

Prof Ahmad Murad menegaskan langkah mengatasi pertelingkahan ini penting bagi negara dan generasi akan datang.

Katanya, dalam dua dasawarsa ini dapat diperhatikan keadaan celik sejarah dalam negara kian meningkat seperti yang terlihat dalam penerbitan buku dan media sosial.

“Namun, apa yang kita lihat dan dengar daripada rakan-rakan sejarawan ialah wacana mereka sebenarnya memartabatkan penjajah dan penjajahan serta kolonialisme.

“Sejarawan kita sedang memartabatkan kolonialisme,” katanya.

Atas dasar itu, beliau mengesyorkan tafsiran semula sejarah demi kepentingan nasional bukan jenayah.

Polemik Kedah dan Pulau Pinang bangkit semula selepas Muhammad Sanusi mendakwa tiada sempadan antara kedua-dua negeri berkenaan kerana Pulau Pinang adalah milik Kedah dan tidak pernah terlepas negeri itu selama ini.

Terdahulu, Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah bertitah, pembentukan Malaysia tidak sepatutnya menjadi titik bagi membenarkan sejarah Kedah yang wujud sejak sekian lama dipadamkan.

Baginda bertitah, perbincangan mengenai sejarah Kedah di pelbagai platform mulai subur sejak akhir ini di segenap lapisan masyarakat, terutamanya membabitkan kedudukan negeri itu dan Pulau Pinang.

Justeru, baginda menegaskan, adalah tidak wajar sekiranya suara rakyat negeri itu didiamkan terutamanya membabitkan sejarah dan kedaulatan Kedah.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button