Berita Utama

Kerajaan Madani didesak tangani segera krisis kejatuhan ringgit

Ringgit berlegar di paras terendah beri kesan pada harga makanan ruji

BANGI, 4 Zulhijjah 1444H, Jumaat – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Isham Jalil sekali lagi mendesak Kerajaan Madani berbincang dan membuat keputusan segera dalam menangani krisis kejatuhan ringgit yang kini berlegar di paras terendah.

Beliau berkata, langkah itu perlu dilakukan kerana ia mempengaruhi harga makanan harian rakyat.

“Saya sudah kata banyak kali sebelum ini, kelemahan ringgit perlu ditangani segera bukan dibiarkan begitu sahaja kerana ia melibatkan harga makanan harian rakyat.

“Kerajaan perlu bincang dan buat keputusan segera bagaimana untuk tangani masalah ini. Isu ini serius,” katanya menerusi hantaran di Facebook beliau, hari ini.

Isham berkata demikian mengulas jangkaan Pengarah Urusan Mydin, Datuk Ameer Ali Mydin mengenai kenaikan harga runcit beras 10kg sekurang-kurangnya RM1 bulan depan.

Beliau mengaitkan kenaikan harga itu dengan kelemahan ringgit serta kenaikan kos lain, termasuk elektrik dan buruh.

Sementara itu, veteran UMNO, Tan Sri Shahrir Abdul Samad yang turut menyuarakan kebimbangan mengenai isu sama berkata, perkara ini tidak boleh dielak memandangkan ia kesan langsung dari nilai ringgit yang lemah.

“Sekarang sudah terkesan kepada makanan ruji kita.

“Tak payah nak kita lihat kepada pasaran saham, Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK), defisit, hutang negara atau ukuran-ukuran yang lain,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button