Berita Utama

UMNO dijangka kalah lebih teruk pada PRN

Tak mahu dengar suara akar umbi, masih kekalkan Zahid Hamidi sebagai presiden

Oleh Muhammad Danial Haziq

BANGI, 4 Zulhijjah 1444H, Jumaat – Parti UMNO berada di ambang kejatuhan kerana kurangnya kepercayaan dan sokongan daripada penyokong akar umbi, khususnya masyarakat Melayu di negara ini.

Felo Kanan Majlis Profesor Negara (MPN) Prof Datuk Dr Abdul Halim Sidek berkata, UMNO berpotensi menghadapi kekalahan lebih teruk berbanding Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) kerana suara akar umbi tidak didengari oleh kepimpinan parti tersebut.

Beliau juga berkata, majoriti ahli UMNO tidak bersetuju dengan jawatan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebagai presiden parti.

“Perhimpunan Agung UMNO (PAU) dah kata, “No Anwar, No DAP”. Tiba-tiba, Pilihan Raya Umum, BN kalah teruk, UMNO kalah teruk. Dan Zahid Hamidi masih lagi presiden, walhal ketika itu dalam PAU, akar umbi mahukan dia turun dan tak mahu dia jadi presiden.

“Apabila Zahid Hamidi bawa UMNO masuk ke dalam parti Kerajaan Perpaduan, maka ramai orang Melayu tercengang-cengang dan menimbulkan rasa gelisah,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, kerjasama UMNO-DAP menyebabkan orang Melayu berasa terkilan kerana parti tersebut dianggap sebagai pro-Komunis.

“Kenapa sekarang UMNO, iaitu Melayu, dah berbaik-baik dan berpeluk-peluk dengan DAP? Dan paling teruk, bagi pula gelaran Tan Sri kepada Lim Kit Siang.

“Rakyat Melayu amat terkilan dengan hala tuju yang tidak tentu arah oleh parti Melayu yang terbesar di negara ini.

“Oleh sebab orang Melayu sekarang dah terkilan, dan budaya Melayu tidak suka bertengkar di hadapan khalayak ramai. Orang Melayu lebih suka berbincang di belakang tabir, tetapi kalau mahu berbincang pun tak dapat, tunggulah hari perhitungan. Kerana itu UMNO kalah teruk pada PRU-15 hari itu,” katanya.

Beliau menegaskan sekiranya tiada tindakan yang diambil oleh Presiden UMNO, parti tersebut pasti akan mengalami kekalahan teruk pada masa terdekat.

“Sebab suara akar umbi tidak didengar dan tidak digunakan, jika Zahid Hamidi tak dengar juga suara akar umbi, kebarangkalian UMNO untuk kalah lebih teruk dari sebelum ini amat tinggi.

“Inilah yang digemari oleh musuh-musuh Melayu. Jadi teori divide and rule itu masih lagi relevan. Naratifnya ialah divide and rule, rule the world,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button