Berita Utama

Ada kes khianat kain rentang, bendera parti di Kelantan

Polis siasat hingga ke akar umbi, semua pelaku akan terima padah

KOTA BHARU, 2 Muharam 1445H, Khamis – Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Kelantan menerima dua laporan polis berhubung kejadian khianat terhadap kain rentang dan bendera parti sejak Sabtu lalu.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun, berkata kejadian itu berlaku di Tumpat dan Kuala Krai.

Selain itu, pihak polis turut mengesan empat lagi kejadian yang sama berlaku di sekitar Kota Bharu.

“Perbuatan khianat ini dilakukan dengan cara mencabut dan menjatuhkan bendera parti serta merosakkan kain rentang.

“Polis memandang serius berhubung kejadian ini dan menggerakkan hampir kesemua ‘Team Cantas’ dan juga pasukan lain di bawah Ketua Polis Daerah dalam usaha mengesan dan menangkap mana-mana pihak yang dipercayai terbabit sama ada secara langsung atau sebaliknya,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Muhamad Zaki berkata, pihaknya sedang giat menjalankan risikan maklumat dan operasi ekoran dari beberapa kejadian ini. 

“Siasatan secara terperinci akan dilaksanakan berdasarkan laporan Polis yang telah dibuat. 

“Pihak polis tidak akan teragak-agak untuk menangkap mana-mana individu yang tidak bertanggungjawab melakukan perbuatan ini, bukan sahaja pelaku tetapi juga pendorong, perancang atau yang berada di sebalik tabir. 

“Semua yang berkaitan akan menerima padah dan polis akan pastikan siasatan dilakukan sehingga ke akar umbi,” katanya. 

Sehubungan itu, beliau mengingatkan semua ketua parti, presiden badan bukan kerajaan (NGO) atau pengerusi mana-mana pertubuhan khususnya di Kelantan supaya sentiasa menjaga dan mengawasi ahli serta pengikut masing-masing supaya tidak merosakkan keharmonian dan keamanan.

Tegasnya, pihak polis juga tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terbabit dan kes ini akan disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan iaitu hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda, atau kedua-duanya sekali.

“Selain itu, tindakan tegas juga akan diambil oleh polis Kelantan bagi mana-mana pihak yang cuba melakukan sebarang provokasi atau menimbulkan sebarang isu berkaitan dengan institusi Diraja, agama dan perkauman (3R).

“Pihak polis memberi amaran kepada orang ramai untuk tidak memuat naik sebarang ‘posting’ di media sosial atau menyebarkan berita yang boleh mendatangkan pecah keamanan dan kegusaran pada masyarakat terutama menyentuh isu-isu 3R,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button