Berita Utama

KDN dan menteri ada maklumat, kenapa tanya saya, soal Tun M

Teknologi kini boleh kutip data di semua pintu masuk, keluar negara

BANGI, 13 Muharram 1445H, Isnin – Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini mempersoalkan tindakan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution yang menuntutnya mengemukakan bukti jutaan pelancong China tidak pulang ke negara asal.

Bekas Perdana Menteri itu menegaskan, Saifuddin boleh menyemak data dalam simpanan Kementerian Dalam Negeri (KDN), memandangkan maklumat berkenaan dipunyai kementerian dan menteri.

Katanya, setiap tahun kerajaan mengisytihar jumlah pelancong masuk ke negara, dan sudah tentu juga mengetahui angka yang keluar.

“Kenapa tanya saya. Teknologi kini memboleh data dikutip di semua pintu masuk dan pintu keluar negara. Tiap pelancong perlu tunjuk pasport yang mempunyai butiran yang cukup.

“Bukankah menjadi tanggungjawab KDN dan menteri menghitung siapa yang masuk dan siapa yang keluar,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

KDN pada 21 Julai lalu dilaporkan tidak dapat membuktikan dengan tepat berhubung dakwaan kononnya terdapat jutaan pelancong China yang tidak pulang ke tanah asal.

Saifuddin berkata, isu itu bukan perkara baharu, sebaliknya ia rancak dibongkarkan Dr Mahathir sebelum pilihan raya 2018 lalu.

Menurut Dr Mahathir, KDN sendiri telah nyata di Parlimen seperti dilaporkan sebuah akhbar tempatan pada 27 Julai 2022 mengenai lebih 1.2 juta warga China dikesan tidak keluar dari Malaysia setelah tiba di negara ini dalam tempoh antara 2018 hingga 2021.

“Saya telah berjumpa dengan ramai mereka dan ramai yang memiliki rumah di Kuala Lumpur. Angka 1.5 juta disebut oleh pendakwa lain. Saya cuma terima dakwaan mereka.

“Jika saya diberi akses kepada semua rekod saya boleh bukti. Tetapi untuk semak rekod-rekod yang disimpan oleh kerajaan bayarannya amat tinggi. Ia seolah kerajaan ingin sembunyi data,” katanya.

Dr Mahathir turut mempersoalkan apa guna rekod jika menteri tidak dapat maklumat mengenai data di dalamnya.

“Banyak lagi rekod yang disimpan oleh kerajaan. Umpamanya siapa yang memiliki tanah, siapa yang kaya yang tinggal dalam perumahan mewah.

“Mengklasifikasikan B40 dan T20 sahaja tidak cukup. Kerajaan boleh dapat lebih banyak maklumat untuk bertindak, untuk menentu dasar.

“Rakyat berhak tahu data ini dan dasar kerajaan berkenaan dengan maklumat yang didapati,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button