Berita UtamaDunia

Bayi ‘ajaib’ Turkiye dalam jagaan keluarga ibu saudara

Ditemui hidup meskipun terperangkap runtuhan selama 10 jam

JENDERIS, 19 Muharam 1445H, Ahad – Seorang bayi perempuan yang dilahirkan di bawah runtuhan akibat gempa bumi di Turkiye dan Syria kira-kira enam bulan lalu membesar dengan baik.

Bayi yang dinamakan Afraa itu kini berada dalam jagaan keluarga ibu saudara sebelah bapanya.

Dahulu, dia ditemui selamat selepas 10 jam terperangkap di bawah runtuhan – bagaimanapun kedua ibu bapa serta empat adik beradiknya meninggal dunia.

Malah ketika ditemui, tali pusat masih bersambung dan dipotong daripada ibunya.

Penemuan bayi comel itu telah mendapat perhatian masyarakat dunia dan dianggap ajaib berikutan masih hidup meskipun terperangkap di bawah runtuhan selama 10 jam.

Situasi itu menyebabkan ramai yang menawarkan diri mahu mengambil sebagai anak angkat.

Bagaimanapun selepas beberapa bulan di hospital di utara Syria bayi comel itu diserahkan kepada ibu saudaranya.

Malah ujian DNA dijalankan bagi memastikan wanita berkenaan mempunyai pertalian darah dengan Afraa.

Kini Afraa dijaga bersama keluarga ibu saudaranya dan memiliki lima kakak dan dua orang abang yang membesar bersamanya di sebuah rumah di bandar tersebut.

Menurut Pejabat Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan PBB, lebih 4,500 kematian dilaporkan dan 10,400 kecederaan dilaporkan di barat laut Syria akibat gempa bumi itu.

Malah, dianggarkan 43 peratus daripada yang cedera adalah wanita dan kanak-kanak dalam tragedi gempa bumi dahsyat 6 Februari lalu. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button