PRK: Ahmad Amzad menang di Kuala Terengganu
Kalahkan calon Pakatan Harapan dengan majoriti 47,266 undi
KUALA TERENGGANU, 26 Muharam 1445H, Ahad – Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Datuk Ahmad Amzad Hashim mengekalkan kemenangan di kerusi Parlimen Kuala Terengganu pada Pilihan Raya Kecil (PRK) hari ini.
Ahmad Amzad mengalahkan calon Pakatan Harapan (PH) Azan Ismail dengan majoriti 47,266 undi.
Berdasarkan data keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Ahmad Amzad memperoleh 68,369 undi manakala Azan mendapat 21,103 undi.
PRK Parlimen Kuala Terengganu diadakan susulan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Terengganu membatalkan kemenangan Ahmad Amzad yang juga bekas Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, setelah mendapati wujud unsur rasuah ketika kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bagi kerusi Parlimen itu pada 27 Jun lepas.
PRK itu diadakan serentak hari ini dengan Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri iaitu Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan dan Terengganu.
Ahmad Amzad menjadi Ahli Parlimen Kuala Terengganu pada PRU14 pada 2018. – Bernama