Berita Utama

PRN selesai, Islam anjur kita berlapang dada dan bersatu

Mari berdoa wujudnya kesepakatan dalam mengukuhkan perpaduan

BANGI, 1 Safar 1445H, Jumaat – Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengajak semua pihak mempertautkan ukhuwah dan memperkukuhkan semula perpaduan bagi membangunkan negara secara bersama.

Timbalan Perdana Menteri itu berkata, Islam menganjurkan kita untuk berlapang dan mencari damai agar kita bersatu mengerah segala kudrat dan tenaga untuk bergerak secara kolektif.

Ini katanya, bagi mewujudkan perubahan positif yang menyumbang ke arah kebaikan.

“Telah selesai Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri, kini tiba masanya untuk kita mempertautkan ukhwah (persaudaraan) dan kukuhkan perpaduan yang bertujuan untuk membangunkan negeri dan negara secara bersama,” katanya dalam kenyataan di Facebook.

Selain itu beliau berkata, kini juga masa untuk kita berganding bahu membangunkan kehidupan yang harmoni dengan semangat saling hormat menghormati.

Bahkan, mempunyai rasa empati dan menjaga hak serta keadilan agar tertegaknya sebuah negara yang stabil dan sejahtera.

“Marilah kita berdoa ke hadrat Allah agar wujudnya kesepakatan dan lahirnya kesepaduan di dalam meneguhkan perpaduan.

“Ini supaya terbinanya sebuah negara yang beroleh keberkahanNya dan Malaysia terus berada di bawah lindungan rahmatNya,” katanya.

Keputusan PRN di enam negeri pada 12 Ogos lalu menunjukkan isyarat penolakan rakyat terutama pengundi Melayu yang tidak boleh menerima blok gabungan Pakatan Harapan dan Barisan Nasional (PH-BN).

Isyarat itu jelas diterjemahkan apabila BN-UMNO hanya memperolehi 19 daripada 108 kerusi DUN yang ditandingi.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button