Berita Utama

Bagus untuk pelajar, jangan politikkan Modul Hadis 40 Imam Nawawi

Orang bukan Islam tak perlu campur urusan agama Islam

BANGI, 11 Safar 1445H, Isnin – Cadangan Kementerian Pendidikan (KPM) untuk melaksanakan Modul Penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi di setiap sekolah tidak wajar dipolitikkan, sebaliknya melihat inisiatif ini sebagai langkah positif untuk pelajar beragama Islam.

Presiden Pertubuhan Gerakan Qiam (QIAM), Datuk Sirajuddin Salleh berkata, orang bukan Islam yang menentang dan membantah seharusnya sedar isu ini tiada kaitan langsung dengan mereka.

“Parti-parti politik juga jangan mempolitikkan isu ini dan jangan sesekali campur tangan urusan agama Islam.

“Sedarlah bahawa Perlembagaan Persekutuan jelas menyebut Islam sebagai agama Persekutuan.

“Selama ini pun belum ada sejarah orang Islam menganggu agama lain dan situasi inilah yang menyebabkan masyarakat di negara ini mampu hidup bersatu padu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menyokong usaha KPM, Sirajuddin yakin modul hadis ini sarat dengan ilmu kerana mengandungi nilai-nilai murni yang boleh diamalkan di dalam sekolah dan kehidupan seharian.

“Setiap hadis yang diajar oleh para guru hendaklah menggunakan contoh terkini yang ada kaitan dengan pelajar.

“Misalnya guru boleh ambil hadis yang menekankan pelajar suka pada buku, rajin membuat kerja rumah, tidak ponteng sekolah,menghormati orang lain, bahaya merokok, kesan merempit, sayang ibu bapa, dan lain lain,” katanya.

Jelas beliau, pembelajaran hadis juga menyentuh aspek kepimpinan, kerja berpasukan, hidup sederhana, konsep syukur dan berpegang teguh pada ajaran agama.

Justeru, QIAM melihat sudah tiba masanya modul berkenaan diperkenalkan berikutan generasi muda didedahkan pelbagai masalah sosial dan tekanan hidup.

Terdahulu KPM memaklumkan, program perintis itu akan dilaksanakan di 61 SMKA dan 228 SABK di seluruh negara.

Ia dilancarkan pada 19 Ogos dan diperkenalkan untuk memupuk kefahaman dan penghayatan hadis bermula di peringkat sekolah.

Meskipun telah dijelaskan bahawa pelaksanaan modul itu hanya untuk guru dan pelajar beragama Islam, ia tetap menjadi polemik khususnya dalam kalangan bukan Islam sehingga menimbulkan pelbagai spekulasi.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button