Berita Utama

Syarikat swasta, korporat digalak tingkatkan program CSR

Adakan program dalam komuniti seperti pemeriksaan kesihatan gigi

KUALA LUMPUR, 21 Rabiulawal 1445H, Sabtu – Syarikat swasta dan korporat digalak meningkatkan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) menerusi program perkhidmatan dalam komuniti seperti pemeriksaan kesihatan gigi bagi memberi kemudahan kepada komuniti termasuk kawasan pinggir bandar dan luar bandar.

Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil berkata, program perkhidmatan yang dibawa ke komuniti akan memudahkan dan memberi manfaat kepada lebih ramai orang.

Ahli Parlimen Lembah Pantai itu berkata, contohnya kawasan Lembah Pantai, Pantai Dalam dan Kampung Kerinchi walaupun terletak di bandar dan berdekatan dengan hospital serta klinik yang banyak terdapat pelbagai kekangan untuk komuniti setempat mendapatkan rawatan dan perkhidmatan.

“Jadi bila kita bawa perkhidmatan itu dalam komuniti lebih ramai yang akan dapat manfaat.  Saya amat alu-alukan dan jika ada pihak lain yang ingin mengadakan program serupa (di Lembah Pantai) boleh berhubung dengan saya,” katanya kepada pemberita ketika hadir ke program Pemeriksaan Kesihatan Gigi: Gigi Sihat Senyum Ceria di Program Perumahan Rakyat (PPR) Kerinchi di sini hari ini.

Fahmi berkata, program anjuran bersama International Medical University (IMU) dan Majlis Perwakilan Penduduk  Lembah Pantai serta pertubuhan bukan kerajaan itu bertujuan meningkatkan kesedaran tentang penjagaan gigi.

Beliau berkata program itu turut membantu pelajar tahun tiga jurusan pergigian IMU menimba pengalaman secara amali terutamanya dalam menguruskan kanak-kanak kecil yang sukar untuk menjalani pemeriksaan gigi. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button