Berita Utama

E-invois secara mandatori dikuat kuasa mulai Ogos 2024

Pelaksanaan babit pembayar cukai pendapatan, jualan lebih RM100 juta

KUALA LUMPUR, 27 Rabiulawal 1445H, Jumaat – Kerajaan bersetuju menguatkuasakan e-invois secara mandatori kepada pembayar cukai dengan pendapatan atau jualan tahunan melebihi RM100 juta bermula 1 Ogos 2024, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, pembayar cukai mengikut kategori pendapatan selainnya akan dibuat secara berfasa dengan sasaran pelaksanaan menyeluruh bermula 1 Julai 2025.

“Nombor Pengenalan Cukai (TIN) akan diperluas penggunaannya untuk menyokong pelaksanaan e-invois.

“Ini dapat melebarkan lagi jaringan pembayar cukai susulan pematuhan cukai secara sukarela yang seterusnya mengurangkan ketirisan hasil,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2024 di Dewan Rakyat hari ini.

Katanya, agensi penguatkuasaan juga akan terus memperhebat usaha sama menangani ketirisan hasil.

“Langkah kawalan penyeludupan rokok umpamanya telah menyumbang kepada 56.6 peratus pada 2022 ketimbang 63.8 peratus pada 2020.

“Memandangkan bilangan rokok tidak sah masih tinggi di pasaran, kerjasama antara agensi akan dipertingkatkan termasuk memperketatkan kawalan penyeludupan minuman keras,” kata Anwar.- Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button