Berita UtamaDunia

Hamas nafi terima pengesahan rasmi dari Mesir lintasan Rafah dibuka

Dakwaan gencatan senjata lima jam di selatan Semenanjung Gaza tidak disahkan

GAZA, 1 Rabiulakhir 1445H, Isnin – Ketua pejabat media Hamas pada Isnin menafikan menerima sebarang maklumat daripada Mesir mengenai pembukaan lintasan sempadan Rafah.

“Kami tidak menerima sebarang komunikasi atau pengesahan daripada pihak Mesir berhubung hasrat untuk membuka sempadan Rafah hari ini. Semua yang diedarkan, terutama dalam media Israel adalah tidak berasas,” kata ketuanya, Salama Marouf.

Terdapat juga laporan dalam media Barat mengenai gencatan senjata selama lima jam di selatan Semenanjung Gaza bagi memudahkan pemindahan orang awam ke Mesir, namun tiada sebarang pengesahan rasmi.

Selepas pertemuan dengan Presiden Mesir, Abdel Fattah el-Sisi Ahad lalu, Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Antony Blinken berkata, Rafah akan dibuka semula untuk mendapatkan bantuan dan menyalurkannya kepada mereka yang memerlukan.

Bagaimanapun, Israel berkata pada hari Isnin bahawa tiada gencatan senjata dilaksanakan di selatan Gaza walaupun sumber keselamatan di Mesir berkata perjanjian telah dicapai untuk membenarkan warga asing keluar dari kawasan Palestin yang terkepung dan bantuan dibawa masuk.

Pejabat Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu dalam satu kenyataan berkata: “Pada masa ini tidak ada gencatan senjata serta bantuan kemanusiaan di Gaza sebagai pertukaran untuk mengeluarkan warga asing.”

Tentera Israel dan kedutaan AS di Israel tidak mempunyai sebarang komen, manakala pegawai dari Hamas, tidak mengesahkan sebarang gencatan senjata.

Keadaan masih tidak jelas di persimpangan Rafah, yang membolehkan bantuan dihantar ke kawasan Gaza.

Ketika ini bantuan kemanusiaan dari Mesir, Jordan dan Turkiye selain bekalan perubatan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sudah tiba di Lapangan Terbang El Arish yang jaraknya 50 kilometer (km) di barat Rafah, menunggu untuk dibawa masuk ke Gaza yang dikuasai Hamas.

Hamas pada 7 Oktober lalu memulakan Operasi Taufan Al-Aqsa terhadap rejim haram Israel, serangan mengejut pelbagai serampang termasuk serangan roket bertubi-tubi dan penyusupan ke Israel melalui darat, laut dan udara.

Hamas berkata, serangan itu sebagai tindakan balas terhadap penyerbuan Masjid Al-Aqsa di Baitulmaqdis Timur yang diduduki dan keganasan peneroka haram Israel yang semakin meningkat terhadap rakyat Palestin.

Tentera Israel kemudian melancarkan operasi terhadap sasaran Hamas di Semenanjung Gaza.

Tindak balas Israel diperluaskan kepada pemotongan bekalan air dan elektrik ke Gaza, memburukkan lagi keadaan hidup di kawasan yang telah mengalami kepungan yang melumpuhkan sejak 2007, serta mengarahkan lebih satu juta penduduk Gaza di utara Semenanjung untuk berpindah ke wilayah selatan. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button