Berita Utama

Tiada lagi KWSP bersasar bukti kerajaan tak dengar rintihan rakyat susah

'Tiada kos pun, malangnya nak guna duit sendiri pun tak benarkan'

BANGI, 9 Rabiulakhir 1445H, Selasa – Kenyataan Datuk Seri Ahmad Maslan bahawa kerajaan tidak bercadang melaksanakan sekali lagi pengeluaran bersasar daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) kelihatan angkuh, sekali gus membayangkan kerajaan tidak mendengar rintihan rakyat susah.

Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, kenyataan Timbalan Menteri Kewangan itu jelas bahawa kerajaan Datuk Seri Anwar Ibrahim terus menerus gagal memahami situasi yang dihadapi pencarum-pencarum KWSP yang terkesan.

“Mereka sedang susah sekarang. Adalah tidak logik pembukaan Akaun III tahun depan boleh ‘melegakan’ kesusahan yang mereka sedang hadapi sekarang.

“Rayuan rakyat untuk membolehkan pengeluaran bersasar telah disuarakan oleh ramai individu dan pelbagai NGO.

“Kerajaan yang prihatin perlu dengar rintihan rakyat. Tuntutan pengeluaran bersasar ini telahpun kita dengar sebelum Belanjawan 2023 lagi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, Ahmad Maslam memaklumkan bahawa kerajaan tidak bercadang melaksanakan sekali lagi pengeluaran bersasar, sebaliknya mahu membuka satu lagi akaun kepada pencarum KWSP iaitu Akaun Fleksibel mulai tahun depan.

“Kita akan mengumumkan mengenai apa maksud Akaun Fleksibel ini. Akaun III yang mana boleh diakses oleh semua ahli tanpa mengira mereka daripada kumpulan B40, M40 atau T20 pada bila-bila masa, khususnya ketika kecemasan,” katanya.

Menempelak pengumuman itu, Wan Saiful yang juga Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu kesal kerana hakikat sebenar adalah pencarum merayu mengeluarkan wang tabungan mereka sendiri dan bukan wang kerajaan.

“Ada di antara mereka yang perlu menyelesaikan masalah yang dihadapi mereka dengan segera. Ada yang kereta kena tarik, rumah kena lelong, kena halau dari rumah sewa malah lebih meruncing, dikejar oleh ceti haram.

“Adalah tidak munasabah pembukaan Akaun III akan menyelesaikan situasi sukar pencarum-pencarum ini. Sedangkan, pengeluaran bersasar akan membolehkan pencarum menyelesaikannya serta merta. Bukankan itu lebih baik?

“Pengeluaran bersasar ini tiada kos kepada kerajaan. Malangnya nak guna duit sendiri pun nampaknya kerajaan tak benarkan,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button