Berita UtamaDunia

Gaza hampiri gencatan senjata dengan Israel, kata pemimpin Hamas

Perjanjian dijangka saksikan pertukaran tawanan, kemasukan bantuan kemanusiaan

GAZA, 7 Jamadilawal 1445H, Selasa – Gerakan Perjuangan Islam Palestin (Hamas) kini menghampiri perjanjian gencatan senjata dengan Israel – yang telah melancarkan perang pembunuhan beramai-ramai ke atas Semenanjung Gaza yang terkepung.

“Kami hampir mencapai perjanjian mengenai gencatan senjata,” kata Ketua Biro Politik Hamas, Ismail Haniyeh dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, Hamas telah menyampaikan maklum balas kepada pegawai Qatar, yang menjadi perantara dalam rundingan tidak langsung antara kumpulan yang berpangkalan di Gaza dan rejim Israel.

Sementara itu, pegawai kanan Hamas, Izzat al-Rishq memberitahu TV Al Jazeera bahawa butiran perjanjian akan dikeluarkan ‘dalam beberapa jam akan datang.’

Gencatan senjata akan berlangsung selama beberapa hari dan membolehkan kemasukan bantuan kemanusiaan ke Gaza sebagai sebahagian daripada perjanjian pertukaran tahanan, katanya.

Dua sumber yang biasa dengan rundingan gencatan senjata memberitahu AFP bahawa perjanjian tentatif termasuk gencatan senjata selama lima hari di lapangan dan mengehadkan serangan udara Israel ke atas selatan Gaza itu akan dilaksanakan sebagai balasan untuk membebaskan antara 50 dan 100 warga Israel yang ditawan oleh Hamas dan kumpulan Jihad Islam.

“Perjanjian itu termasuk gencatan senjata, pengaturan untuk trak bantuan untuk membekalkan semua kawasan di Gaza, dan pemindahan mangsa yang cedera ke negara lain untuk rawatan,” katanya.

Beliau berkata, rundingan antara pihak yang bertempur sudah berlangsung selama berminggu-minggu, sambil menambah bahawa pihak Israel telah menangguhkan perjanjian itu.

Pegawai Hamas berkata, perjanjian itu dipersetujui oleh semua briged di Gaza melalui panggilan telefon, “kerana kami sentiasa bersatu sama ada di medan perang atau dalam membuat keputusan politik”.

Secara berasingan, dalam kenyataan yang dipetik oleh laman web berita Walla Israel, pegawai kanan Hamas, Yahya Sinwar berkata, perjanjian itu akan melarang pengeboman pesawat Israel di Gaza semasa gencatan senjata. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button