Berita UtamaDunia

PBB sedia salur bantuan kemanusiaan lebih berkesan ke Gaza jika gencatan senjata dicapai

Keputusan bergantung pada kedua-dua pihak di lapangan

WASHINGTON, 8 Jamadilawal 1445H, Rabu – Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bersedia menyalurkan bantuan kemanusiaan yang lebih berkesan ke Semenanjung Gaza sekiranya gencatan senjata dapat dicapai antara Israel dan Palestin.

Jurucakap Setiausaha Agung PBB, Farhan Haq berkata, meskipun terlalu awal untuk berbincang mengenai penyaluran bantuan kemanusiaan yang lebih baik namun pihaknya yakin dapat melakukan yang terbaik.

“Kami berharap dapat menyalurkan bantuan kemanusiaan yang lebih berkesan sekiranya gencatan senjata dilakukan,” katanya.

Kenyataan itu dibuat selepas kedua-dua pihak daripada pemimpin Gerakan Perjuangan Islam Palestin (Hamas), Ismail Haniyeh dan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu menunjukkan kemajuan bagi mencapai persetujuan gencatan senjata dan membebaskan tawanan warga Israel di Semenanjung Gaza.

Farhan berkata, pihaknya kini sedang membuat perbincangan termasuk dengan pihak berkuasa bagi memudahkan dan melancarkan urusan penghantaran bantuan kemanusiaan.

“Ia bergantung kepada kedua-dua pihak di lapangan, tetapi inilah gesaan kami untuk gencatan dilakukan segera.

“Setiausaha Agung, Antonio Guterres juga telah menggesa perkara yang sama sejak beberapa minggu supaya PBB dapat menyediakan bantuan yang diperlukan,” katanya.

Rejim pendudukan telah melancarkan serangan udara dan darat secara berterusan sejak 7 Oktober lalu.

Serangan berkenaan menyebabkan bangunan termasuk hospital, masjid, gereja musnah teruk.

Rejim Zionis juga menyekat bekalan bahan api, elektrik dan air ke Gaza selain mengehadkan penghantaran bantuan kemanusiaan ke wilayah berkenaan.– Agensi.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button