Berita Utama

Puad kata rakyat memang tunggu giliran Tun M, Tun Daim disiasat

Najib pun pernah lalui pengalaman akaun disita, ditahan SPRM

BANGI, 19 Jamadilakhir 1445H, Isnin – Rakyat memang menunggu giliran Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tun Daim Zainuddin disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), kata Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO itu berkata, tidak pelik jika Tun Daim disiasat, direman dan didakwa akan menjadi tajuk besar untuk tahun 2024, memandangkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak juga pernah melalui pengalaman itu.

“Rumah diserbu, akaun disita, satu malam ditahan di pejabat SPRM, didakwa, dibicara dan akhirnya dipenjara.

“Muhyiddin tidak lama lagi akan dibicara. Rakyat memang tunggu giliran Tun M dan Tun Daim disiasat,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohd Puad mendakwa, Tun Daim perlu menerima hakikat bahawa beliau tidak kebal dan biarkan SPRM menyiasat kekayaannya yang bocor setelah perkara itu tular melalui Kertas Pandora.

“SPRM kata siasatan terhadap Tun Daim berdasarkan Kertas Pandora. Baru rakyat tahu dua anak Daim memiliki syarikat BVI (British Virgin Island) ketika berumur 9 dan 12 tahun.

“Banyak misteri mengenai kekayaan Daim. Apakah kandungan ‘Pandora Paper’ itu benar? Biar SPRM siasat. Kita pun hairan kenapa Daim tidak tersenarai 50 orang terkaya dalam ‘Forbes Malaysia’. Apa rahsianya?,” katanya.

Sabtu lalu, SPRM menegaskan siasatan terhadap Tun Daim dijalankan sejak Februari lalu susulan maklumat daripada Kertas Pandora yang didedahkan sebelum ini.

Kertas Pandora merujuk kepada berjuta-juta dokumen bocor yang didedahkan kepada umum pada 2021, yang didakwa mendedahkan akaun luar pesisir pemimpin masa kini dan masa lalu dari seluruh dunia, termasuk presiden, perdana menteri, bilionair dan ahli perniagaan terkemuka.

SPRM dalam kenyataan berkata, satu notis di bawah Seksyen 36(1)(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta 694) diserahkan kepada Daim pada 7 Jun lalu yang menghendaki beliau supaya mengisytiharkan segala aset miliknya.

Jelas kenyataan itu, aset terbabit sama ada di dalam dan luar negara secara bertulis dan akuan bersumpah dalam tempoh 30 hari dari tarikh notis tersebut.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button