Berita UtamaDunia

Israel asas segala kejahatan

Jordan desak UNSC ambil keputusan tamatkan perang Gaza

AMMAN, 26 Jamadilakhir 1445H, Isnin – Menteri Luar Jordan mengecam keras peperangan Israel yang berterusan di Gaza, menyifatkannya sebagai pencerobohan biadab dan memberi amaran situasi makin buruk di rantau itu.

Bercakap kepada Agensi Berita Jordan, Ayman Safadi berkata, Israel sedang membunuh orang yang tidak bersalah, merampas air, makanan dan ubat-ubatan serta cuba untuk memindahkan lebih 2.3 juta rakyat Palestin.

“Jordan, dengan segala kemampuannya, akan menentang percubaan kerajaan Israel untuk memindahkan penduduk Palestin di dalam dan di luar tanah air mereka,” katanya.

Katanya lagi, kerajaan menyifatkan percubaan Israel untuk memindahkan orang ramai sebagai jenayah perang.

“Pendudukan adalah asas kepada semua kejahatan. Sebarang pendekatan yang tidak bertujuan untuk menamatkan pendudukan dan memenuhi semua hak rakyat Palestin tidak akan mencapai keselamatan dan keamanan yang adil dan akan mencetuskan lebih banyak konflik dan peperangan,” katanya.

Beliau menegaskan, langkah menamatkan pendudukan wilayah Palestin mesti hadir dengan objektif yang jelas, garis masa dan jaminan sebenar.

“Kami sedang menyelaraskan perkara ini dengan saudara-saudara kami di negara-negara Arab, dan kami membincangkannya dengan ramai rakan kongsi kami dalam masyarakat antarabangsa,” katanya.

Safadi turut mengutuk dasar dan pendirian menteri Israel – yang melampau, perkauman, menghasut – yang mendera rakyat Palestin dan menafikan hak mereka untuk tinggal di tanah negara mereka.

Beliau memberi amaran mengenai agenda pelampau kerajaan Israel untuk meneruskan perang dan meluaskannya ke Tebing Barat dan Lubnan yang diduduki bagi memanjangkan kepimpinan politiknya dan mengheret Barat ke dalam campur tangan tentera di rantau itu.

Menurutnya, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dan menteri Kabinet ‘perkauman, pelampau’ secara terbuka menyatakan hasrat mereka untuk mengusir rakyat Palestin dari Gaza, dan penolakan mereka terhadap hak bagi menentukan nasib sendiri.

Sehubungan itu katanya, Jordan akan mendesak Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) untuk mengambil keputusan undang-undang, moral dan kemanusiaan bagi menamatkan perang di Gaza dan mencabar pencabulan undang-undang antarabangsa Israel.- Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button