Berita Utama

Pembangkang tiada kekuatan bawa usul undi tak percaya ke Parlimen

'Dah lama...setahun dah. Hari-hari kita tunggu, tiada'

ISKANDAR PUTERI, 29 Jamadilakhir 1445H, Khamis – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pembangkang tiada kekuatan untuk membawa usul undi tidak percaya ke Parlimen, sebaliknya hanya memainkan propaganda untuk menipu penyokong mereka.

Beliau berkata, ini terbukti kerana sehingga sekarang, pembangkang tidak pernah lagi membawa usul seumpama itu sepanjang setahun Kerajaan MADANI.

“….Dah lama dah dia (pembangkang) tidak  bawa (usul tidak percaya), setahun dah. Hari-hari kita tunggu, tiada.

“Jadi kita tidak fikir bab tu, saya tidak fikir dia ada kekuatan untuk bawa ini (undi tidak percaya), selain propaganda untuk menipu penyokong-penyokong dia supaya tidak hilang semangat,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Ramah Mesra Bersama Perdana Menteri di Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP), di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada pembangkang berani mengambil langkah berkenaan, susulan peringatan Ahli Parlimen Pasir Gudang Hassan Karim, supaya pembangkang membuat usul itu sekiranya serius mahu menguji keabsahan Perdana Menteri.

Semalam, Hassan ‘mengingatkan’ supaya pembangkang segera mengemukakan usul tidak percaya terhadap Ahli Parlimen Tambun tersebut, sekiranya mahu menguji keabsahan Perdana Menteri itu sebelum mesyuarat pertama penggal ketiga Dewan Rakyat, yang mula bersidang pada 26 Feb depan.

“Ya, itu pandangan yang sesuailah (pandangan Hassan). Kalau tidak, hari-hari orang asyik cari ini (akuan bersumpah), Langkah Dubailah atau mana-mana. Sekarang dah terbukti bahawa itu semua hanya ‘politik cemas’ dalam kalangan mereka yang kehilangan modal.

“Jadi, saya nasihat jemaah menteri dan pimpinan kerajaan umumnya, supaya menumpukan perhatian untuk membangunkan negara. Tahun 2024 fokus kita ialah pembangunan dan keutuhan ekonomi negara,” kata Anwar.

Ketika ditanya mengenai sama ada akan ada lebih banyak tangkapan berkaitan rasuah melibatkan ‘jerung-jerung’ besar, Perdana Menteri berkata itu terpulang kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Itu urusan SPRM, tetapi saya tidak mahu orang anggap ini perkara kecil, baru, lama, tak boleh. Orang kalau dia tidak salah, tidak perlu bimbang kerana siasatan itu akan diteliti dan pendakwaan akan diberikan dan dikemukakan sekiranya terdapat bukti yang kukuh.

“Tetapi janganlah sesetengah orang anggap ini soal pihak tertentu dan sebagainya, kerana ini akan memberikan gambaran seolah-olah ada orang-orang…jerung-jerung besar terlepas,” kata beliau. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button