Berita Utama

Cubaan curi balak bernilai RM10,000 gagal

2 suspek ditahan bawa 6 tual balak pelbagai spesis tanpa dokumen sah

PENGKALAN HULU, 26 Rabiulakhir 1442H, Sabtu – Jabatan Perhutanan Negeri Perak (JPNP) membuat laporan polis terhadap dua lelaki yang disyaki mencuri balak dianggarkan bernilai RM10,000.

Difahamkan, jabatan itu menerima panggilan daripada polis yang memaklumkan berkaitan aktiviti pengambilan hasil hutan tanpa kebenaran selepas polis menahan sebuah lori yang dinaiki dua lelaki dalam sekatan jalan raya.

Pengarah JPNP, Datuk Mohamed Zin Yusop berkata, penguat kuasa JPNP dari pejabat Hulu Perak yang membuat pemeriksaan mendapati dua lelaki terbabit membawa enam tual balak pelbagai spesis kayu hutan tanpa dokumen sah.

“Sehubungan itu, satu laporan polis dibuat di Ibu Pejabat Polis (IPD) Pengkalan Hulu dan lori serta muatan disita, manakala dua suspek terbabit dilepaskan dengan bon jaminan polis.

“Kedua-dua suspek boleh didakwa mengikut Seksyen 68 (1) dan Seksyen 84 Enakmen Akta Perhutanan Negara 1984 (Pemakaian) 2985 yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi 5 tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan,” katanya seperti dilapor media tempatan.

Katanya lagi, siasatan lanjut kes dijalankan pegawai penyiasat JPNP.

“Kami mengalu-alukan sebarang maklumat awam berhubung kegiatan mengambil hasil hutan tanpa kebenaran dan juga aktiviti penerokaan Hutan Simpan Kekal,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button