Berita UtamaDunia

Restoran October 7 di Jordan, Israel berang dakwa ‘agungkan’ Hamas

Pemilik restoran tegaskan Israel negara lemah bila kait dengan perang

SAANA, 15 Rejab 1445H, Sabtu – Sebuah restoran yang dinamakan October 7 sempena tarikh serangan Hamas ke atas rejim haram Israel mendapat perhatian warganet selepas tersebar rakaman pembukaannya di media sosial.

Rakaman video restoran shawarma dan piza di bandar Kerak, pada awalnya disiarkan di laman web berita tempatan Khaberni dan mula tersebar sejak Khamis lalu.

Memetik laporan Arab News, rakaman itu menimbulkan kemarahan daripada pihak berkuasa Israel dan media di negara itu.

Bekas Perdana Menteri Israel, Yair Lapid menulis dalam mesej yang disiarkan di platform media sosial X berkata, restoran itu seolah-olah mengagungkan Gerakan Perjuangan Islam Palestin (Hamas).

“Mengagungkan 7 Oktober yang memalukan harus dihentikan,” dakwanya sambil menggesa Jordan mengutuk perkara itu secara terbuka dan tanpa berbelah bahagi.

Akhbar Israel Yedioth Ahronoth juga mendakwa, nama restoran itu adalah antisemitik dan menunjukkan kemerosotan hubungan antara Israel dan Jordan.

“Situasi ini akan memburukkan lagi ketegangan sedia ada antara negara dan menimbulkan persoalan mengenai kerumitan hubungan serantau,” katanya.

Sebaliknya, pemilik restoran, Sarayrah berkata, Israel adalah negara yang lemah dan rapuh apabila mengaitkan nama restorannya dengan perang di Gaza.

Beliau berkata, restoran itu dinamakan sempena tarikh anak perempuannya menamatkan pengajian di universiti di Algeria. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button