Berita Utama

Teruk sungguh menteri Melayu pertahan sekolah vernakular

Kerajaan wajib perkasa sistem pendidikan satu aliran

Oleh Siti Fatimah Ishak

BANGI, 19 Rejab 1445H, Rabu – Sistem sekolah vernakular sememangnya penghalang perpaduan nasional dan menjadi punca utama perpecahan dalam kalangan warganegara Malaysia.

“Bayangkan saban tahun puluhan ribu lepasan sekolah vernakular yang majoritinya adalah bukan Melayu.

“Betapa ramainya tidak fasih berbahasa Melayu. Bagaimana mereka mampu bergaul dengan kaum Melayu yang merupakan penduduk majoriti dan asal di negara ini?

Demikian soal Presiden Pertubuhan Gerakan Qiam (QIAM), Datuk Sirajuddin Salleh yang kesal dengan sikap pemimpin negara apabila masih mempertahankan sekolah vernakular meskipun kesan akibat sistem ini terpampang depan mata.

Terdahulu, dalam satu wawancara bersama BFM Radio, Menteri Pendidikan berkata, Akta Pendidikan telah mengiktiraf sekolah vernakukar dan beliau akan terus menyokong sekolah vernakular.

“Tiada persoalan mengenai ia tak dibenarkan, ia tidak sah, ia memecahbelahkan kita. Semua itu tidak wujud,” dakwanya.

Menyangkal kenyataan pemimpin kerajaan itu, Sirajudin berkata, Malaysia harus memperkasakan sistem pendidikan satu aliran nasional yang menggunakan satu bahasa iaitu Bahasa Melayu.

Kerajaan selalu menyeru perpaduan kerana perpaduan nasional sangat rapuh dan sukar dicapai, sehingga Kementerian dan Jabatan Perpaduan terpaksa diwujudkan, katanya.

“Namun, sedar atau tidak sifat perkauman semakin mendalam dan menebal.

“Faktor utama yang mengancam perpaduan nasional ini kerana kewujudan sekolah vernakular yang menggunakan pengantar bahasa Mandarin dan Tamil.

“Teruk sekali bila ada yang masih pertahankan sekolah vernakular terutama menteri Melayu,” katanya.

Sirajuddin berkata, kekangan bahasa menyebabkan lulusan sekolah vernakular sukar bergaul dan bersosial dengan orang Melayu yang datang dari sekolah aliran kebangsaan.

“Sikap dan cara hidup dan budaya mereka juga mengekang perpaduan dengan kaum Melayu.

“Bahkan, orientasi pemikiran dan tata santun mereka daripada sekolah  vernakular ini juga berbeza kerana tidak menggunakan kurikulum Malaysia sepenuhnya.

“Kemasukan puluhan ribu daripada sekolah vernakular dalam masyarakat ini diibaratkan sama seperti kemasukan air sungai  dari  hulu yang kotor dan keruh, maka akibatnya air di hilir juga pasti kotor dan keruh,” katanya.

Maka, sudah sampai masanya Malaysia memperkasakan sistem pendidikan satu aliran nasional yang menggunakan Bahasa Melayu sahaja dan menyerapkan semua sekolah vernakular ke sekolah Aliran Nasional.

“Sebagai perbandingan, tidak ada negara di rantau ini yang punyai sekolah vernakular tajaan kerajaan,” tegasnya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button